Pelakon dan usahawan, Datin Ira Ghani lebih gemar melakonkan watak yang mencabar dirinya.

Menurut Ira, dia memahami perbezaan kehidupan realiti dan hal berkaitan dunia seni. Oleh sebab itu, Ira menyukai watak yang membawanya keluar dari zon selesa.

"Kita kena faham, seni dan realiti mempunyai perbezaan, kita tidak boleh samakan dunia lakonan dengan kehidupan sebenar.

"Jadi, saya suka mencabar diri, kalau saya boleh bawa watak orang gila, maksudnya saya hebat, kalau boleh saya taknak bawa watak datin-datin.

"Saya memang dah lakonkan pelbagai watak dan setakat ini, watak-watak yang saya terima itu bertentangan dengan diri saya yang sebenar," katanya kepada Gempak.

Tambah Ira, mencuba pelbagai watak juga mampu menambahkan pengalaman dalam bidang lakonan.

"Saya dah bawa watak orang gila, ada juga watak dah mati kena sumbat dalam bonet kereta, itupun saya layan.

"Bagi saya, kalau kita cuba macam-macam watak, itu dapat mengajar dan menambahkan lagi pengalaman sebagai pelakon.

"Saya juga ingin cuba lakonkan watak aksi selepas ini, mungkin yang berkaitan dunia 'spy', saya suka watak sebegitu," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Ira kini tampil dalam program bual bicara di saluran YouTube miliknya, Santai With DIG.

Santai With DIG mempunyai 13 episod dan bersiaran di YouTube setiap Jumaat, jam 8.30 malam.

Program ini juga menampilkan tetamu jemputan untuk memeriahkan lagi perbincangan setiap minggu.