Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Tak Panas, Tak Jammed" - Zahirah Kongsi Rutin Raya Di Perth

Amri Hassan
03/06/2019 00:30 MYT
Pelakon cantik Zahirah Macwilson teruja untuk pulang ke pangkuan keluarga dan meraikan Aidilfitri di Perth, Australia.

Mula bercuti dua hari sebelum tibanya Syawal, Zahirah akui sambutan Aidilfitri di Australia masih meriah biarpun bersederhana.

"Di Perth tidaklah punyai cuti umum sempena sambutan raya, boleh dikatakan tidak semeriah raya di Malaysia yang diraikan dengan mood dan dekorasi Aidilfitri.

"Cuma apa yang seronoknya di sana sebab cuaca tidak terlalu panas dan jalan raya pun tidak sibuk. Paling penting, dapat beraya bersama keluarga tercinta!" katanya kepada Gempak.

Zahirah mengakui komuniti muslim di Perth memainkan peranan penting setiap kali tibanya Aidilfitri.

"Malah kami akan berkumpul beramai-ramai untuk beraya dan berkongsi juadah tradisional yang dimasak di sana seperti lemang, ketupat dan rendang.

"Tak adalah beraya sendiri-sendiri," tambahnya.

Zahirah menetap di Perth sejak ibu, Maslinda Yusoff dan bapanya, Zainol Johari Macwilson berpisah.

Dalam perkembangan lain, Zahirah bakal muncul dengan filem Bulan & Pria Terhebat yang dijangka ditayangkan pada September nanti.
#Raya #Zahirah Macwilson #Perth
;