Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Tak Pasti Jangan Kongsi!” - JPM Sahkan Berita PM Beri Cuti Umum Rabu Adalah Palsu

Mya Amri
14/03/2023 09:51 MYT
Jabatan Perdana Menteri (JPM) menafikan satu laporan berita tular di media sosial yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cuti umum pada Rabu ini berikutan kemenangan Tan Sri Michelle Yeoh di Anugerah Akademi (Oscar).

JPM menerusi hantaran di laman Facebook rasmi memaklumkan maklumat yang disampaikan menerusi tangkap layar berita bertajuk ‘PM Anwar declares public holiday on Wednesday: This is the pride of a nation!’ sama sekali tidak benar.

“Untuk makluman, berita tersebut adalah palsu. Orang ramai diminta agar tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu.

“Tidak pasti jangan kongsi! Sila rujuk kepada akaun media sosial rasmi JPM untuk berita sahih,” maklum hantaran berkenaan.

Terdahulu, rata-rata netizen meminta kerajaan untuk mempertimbangkan pemberian cuti umum susulan kemenangan Michelle Yeoh di Oscar yang disifatkan sebagai lakaran sejarah baharu buat negara.

Michelle atau nama sebenarnya, Yeoh Choo Kheng, 61, diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan mantapnya sebagai Evelyn Quan Wang dalam filem Everything Everywhere All at Once.
#Michelle Yeoh #Oscar #Perdana Menteri #Datuk Seri Anwar Ibrahim #Tan Sri Michelle Yeoh #PM #Berita Palsu #Everything Everywhere All at Once #Jabatan Perdana Menteri #JPM
;