Hiburan

“Tak Payah Cerita Benda Dah Lepas, Baik Fokus Cara Jana Semula Ekonomi Industri Kreatif” – Ahmad Idham Kembali Sebagai CEO FINAS

gempak
Fiza Kamarudin
06/06/2020
16:19 MYT
Sponsor Banner
“Tak Payah Cerita Benda Dah Lepas, Baik Fokus Cara Jana Semula Ekonomi Industri Kreatif” – Ahmad Idham Kembali Sebagai CEO FINAS
Selepas dilantik semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, fokus beliau adalah untuk menjana semula ekonomi industri kreatif.
Bercakap mengenai spekulasi pelantikan semula menduduki kerusi panas tersebut mempunyai kaitan dengan kontroversi sebelum ini Ahmad Idham hanya mahu isu tersebut hilang begitu sahaja.
“Isu habis kontrak dulu tu, biarlah ia hilang begitu sahaja. Saya anggap itu sebagai pengalaman berada di FINAS, habis kontrak awal setahun.
“Dalam keadaan pandemik COVID-19 ini saya rasa kita tak payah cerita dulu pasal apa-apa yang pernah berlaku dulu, tapi kita kena fokus macam mana nak bawa balik industri kita ‘on track’. “Macam yang kita tahu anak seni kita sekarang ramai yang terkesan dengan keadaan semasa sekarang ini. Penggambaran harus dijalan segera untuk membantu mereka.
“Jadi, yang penting sekarang ni ialah kita fokus bagaimana cara nak menjana semula ekonomi industri kreatif,” katanya kepada Gempak.
Ahmad Idham juga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan semula, bermula 10 Jun ini.
Bagaimanapun katanya, perkara tersebut merupakan cabaran terbesar buat FINAS untuk memastikan semua syarikat produksi mematuhi garis panduan disediakan kerajaan. “Cabaran juga buat FINAS di mana saya kena pastikan FINAS sudah bersedia untuk melaksanakan pemantauan dan juga menjadi rujukan kepada semua syarikat produksi supaya apabila penggambaran dilaksanakan ia mengikut SOP ditetapkan.
“Di situ peranan FINAS amat penting kerana sijil kebenaran penggambaran dikeluarkan oleh kami. Apa pun saya harap dengan norma baru ini FINAS bekerjasama rapat dengan semua pemain industri agar kita sama-sama dapat membendung wabak ini dan boleh bekerja seperti biasa.
“Yang penting, FINAS kena betul-betul tegas dan kita tak boleh kompromi dengan mana-mana syarikat produksi yang tidak mematuhi SOP,” katanya.
Dalam pada itu Ahmad Idham mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah di atas pelantikan dan kepercayaan diberikan. Beliau juga berterima kasih kepada ahli perbadanan FINAS yang baru kerana menyokong pelantikannya sebagai CEO.
“Terima kasih kepada kepercayaan dan pengiktirafan diberikan kepada saya. Kepercayaan yang diberikan oleh YAB Menteri dengan sendirinya menjawab segala-galanya. Saya hanya mahu bekerja.
“Saya juga gembira kerana YAB Menteri kali ini ada fokus dan hala tuju yang nyata yang senang kita nak bekerja.
“Saya teruja melihat barisan kepimpinan yang baru ini kerana sebahagian daripada mereka adalah pakar dalam industri dan lebih memahami kehendak industri.
“Jadi mudah apabila berurusan dengan ahli perbadanan kerana kita ada satu mind set yang sama.
“Pengerusi FINAS, Encik Zakaria Abdul Hamid walaupun beliau bukan orang industri tetapi beliau ini orang yang sangat berpengalaman dengan portfolio yang besar.
“Jadi dari segi protokol dan sudut politik dia boleh guide kita mencapai matlamat. Beliau akan memacu FINAS, manakala kami yang lain-lain ini bertindak sebagai enjin,” katanya.
Pelantikan Ahmad Idham sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas baru berkuatkuasa semalam (5 Jun 2020) hingga 6 Jun 2022.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live