Penyanyi dan pelakon Yazmin Aziz mengakui terkejut dengan kecaman yang diterima selepas dia dan Aisha Retno serta Danial Chuer ‘mengajuk’ cara percakapan juri-juri Big Stage 2022 baru-baru ini.

Yazmin berkata, dia dan rakan-rakan peserta Big Stage 2022 yang lain tidak terniat untuk perli (shade) sesiapa, dan rakaman tersebut dibuat hanya sekadar suka-suka.

“Hal itu saya memang saya tak boleh brain. Kami tak shade (perli) orang. Aisha, Danial dan saya geram… Kalau kita tengok video tu balik, tiada pun shadingnya. Kita buat balik apa yang kita lihat. Kita hanya impersonate mereka sahaja.

“Komen saya, come on lah… benda tu tak payah kut jadikan isu besar. Kami bertiga sayang juri-juri Big Stage,” katanya kepada Gempak.

Mengakui mengalami kejutan budaya selepas selesai mengikuti Big Stage 2022, Yazmin berkata, dia akan berhati-hati untuk berkongsi sebarang hal di media sosial pada masa akan datang.

“Terkejut juga, macam culture shocked. Sebab secara tiba-tiba, apa yang saya kongsi memberikan impak. Dulu pun ada, cuma tak segila seperti sekarang. Saya belajar untuk lebih berhati-hati dengan apa yang saya kongsi. Saya tidak mahu sesiapa terasa,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Yazmin bakal muncul menerusi sebuah filem berjudul Bunga Dan Kayu. Filem tersebut merupakan filem perdana lakonannya.

Menampilkan MK K-Clique dan Azira Shafinaz sebagai tonggak utama, Bunga Dan Kayu mengisahkan tentang Noah (lakonan MK) seorang selebriti terkenal tanah air sengaja memilih Bunga (Azira) sebagai kekasihnya atas sebab tertentu dan tidak munasabah.

Sikap Noah menjadi lebih tidak terkawal apabila mendapat tahu gadis yang baru dikenalinya, Bunga menyimpan impian untuk menjadi seorang pelakon. Oleh sebab itu, Noah telah menawarkan peluang kepada Bunga yang bakal mengundang 1,001 bencana, bukan hanya pada Bunga tetapi Noah juga.

Selain MKAzira, dan Yazmin, Bunga Dan Kayu juga membariskan pelakon terkenal tanah air seperti Zalif Sidek, Azad Jasmin, Kazar serta Elly Arifin.

Bunga Dan Kayu bakal temui penonton Syawal ini iaitu bermula 3 Mei 2022, Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480.