Seperti biasa, setiap tahun menjelang sambutan Aidilfitri, lagu-lagu klasik bertemakan Hari Raya Puasa bakal berkumandang di corong-corong radio.

Dan tahun ini biarpun lagu-lagu tersebut meriah ke udara, sambutannya bakal berbeza situasi ekoran pandemik Covid-19.

Atas alasan itu, Rocketfuel tampil dengan sebuah lagu berjudul Senyuman Raya untuk mengingatkan semua orang untuk terus tersenyum biarpun Aidilfitri di Malaysia bakal disambut dalam keadaan yang berlainan gara-gara Perintah Kawalan Berkurung Bersyarat (PKPB) demi menangani wabak ini.

Lagu ceria ini dinyanyikan oleh Sufi Rashid, Usop, Ara Johari dan juga Loca B.

Senyuman Raya merupakan lagu ciptaan Iqie hugh, Firdaus Rahmat & Omar K, manakala lirik ditulis oleh Iqie Hugh, Firdaus Rahmat & Loca B.

Lagu ini juga benar-benar mengingatkan semua rakyat Malaysia bahawa walaupun Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini tidak seperti yang diharapkan dengan kemeriahan pulang ke kampung yang jauh di negeri berbeza untuk bertemu sanak-saudara, namun begitu setiap cabaran dan dugaan harus diharungi dan tetap diraikan dengan #Senyuman.

Menurut Ketua Label Muzik, Rocketfuel Records, Feros Sayna, Senyuman Raya diharapkan mampu menggantikan kegembiraan dalam setiap insan.

"Tahun ini umat islam berdepan dengan pandemik yang begitu menguji kesabaran dan kemeriahan suasana sambutan aidilfitri apatah lagi apabila takbir raya berkumandang nanti.

"Senyuman Raya ini diharap mampu menerbitkan kegembiraan dalam hati setiap insan . Lagu ini juga menyahut seruan tema aidilfitri 2020 iaitu Indahkan Senyuman , Eratkan Jalinan," katanya.

Lagu Senyuman Raya boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Video lirik dan muzik lagu ini juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.