Laman Utama
Tak Peduli Berhujan, Rainism Terbeliak Mata Tengok Rain Belanja 'Six Pack' Masa Konsert
Jeritan ‘Oppa’ tanpa henti daripada peminat sudah cukup menggambarkan betapa meriahnya mengenai Konsert “Betadia Night” yang menampilkan bintang popular Korea, Rain.
Berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam, konsert tersebut ternyata mengubat rindu peminat bintang kpop itu apabila kembali semula ke Malaysia selepas lima tahun.
Ternyata hujan lebat tidak menghalang untuk 8,000 peminat hadir yang mula beratur seawal jam 6:30 petang, malah ada juga yang berada di sana lebih awal untuk memastikan mendapat tempat duduk lebih dekat dengan pentas.
Konsert yang berlangsung kira-kira dua jam itu telah membuka tirainya dengan pertunjukkan lampu LED istimewa berwarna-warni.
Rain atau nama asalnya Jung Ji Hoon pada malam itu, memulakan persembahan dengan lagu hits miliknya, Rainism, sudah membuatkan penonton bersorak kuat dan ikut sama menyanyi.
Diikuti dengan lagu-lagu lain seperti Gang, How to Avoid The Sun, Hip Song dan La Song membawa peminat Rain terus menari dan menjerit keseronakkan.
Ruang Axiata Arena turut diterangi cahaya lampu dari stick yang diterima penonton saat mendaftar masuk.
Tidak hanya menyanyi, Rain turut menyelitkan beberapa koreografi lincah dalam persembahan seiring dengan rentak muzik yang dipasang saat menyanyi.
Biji mata peminat hampir ‘terbeliak’ saat penyanyi itu berdiri di hadapan penonton yang berada pada barisan hadapan apabila dia turun dari pentas saat menyampaikan lagu yang ketiga.
Malah, di penghujung persembahan, Oppa Rain telah membuat penonton ‘naik gila’ apabila dia menanggalkan butang bajunya sehingga menampakkan bahagian depan tubuhnya yang sasa.
Saat momen itu berlaku, jeritan peminat semakin kuat dan tidak kurangnya yang mengambil kesempatan untuk merakam Rain yang dalam keadaan ‘seksi’ itu.
Selain lantunan suara Rain yang memukau, sistem audio, pengcahayaan serta pentas tersegam indah telah menjadikan persembahan bertambah menarik dan sangat menghiburkan penonton.
Biarpun tidak bercakap banyak sewaktu persembahan, ternyata dengan senyum yang diukir Rain sudah cukup membuatkan penonton ‘melting’.
Selain Rain, Konsert “Betadia Night” turut diserikan dengan dua lagi penyanyi tempatan iaitu Jess Less dan Andrew Tan.
Tanpa kawalan ketat, peminat dibenarkan untuk merakam video dan mengambil gambar untuk mengabadikan kenangan bersama Rain dan dua lagi bintang yang memeriahkan pentas pada malam tersebut.
Pastinya penonton yang hadir pulang dengan senyuman yang puas dan perasaan gembira kerana dapat mencipta satu lagi momen indah dalam hidup selepas menyaksikan persembahan Oppa Rain.
Terdahulu media melaporkan Konsert “Betadia Night” yang dianjurkan Betadia Malaysia adalah secara percuma, malah tiket yang dikeluarkan telah habis ditebus dalam masa beberapa jam sahaja.
Untuk info, Betadia Malaysia merupakan syarikat Pembekal Insuran Digital yang ditubuhkan pada tahun 2020. Betadia Malaysia begitu komited dalam menyediakan perkhidmatan pelanggan dan pelan pelaburan beteraskan kualiti tinggi serta menjalankan pelbagai sector yang boleh mengukuhkan pulangan jangka masa yang panjang.
Selain itu, Betadia turut menjalankan penilian risiko untuk pelan pelaburan pelanggan dan menyediakan mereka dengan pelan perlindungan kewangan yang paling sesuai dan selamat. Untuk maklumat lanjut layari laman web rasmi Betadia https://www.betadia.com atau Facebook https://www.facebook.com/betadiamy
Must-Watch Video