HIBURAN

Tak Perasan Ibu Mentua Kongsi Ucapan ‘Birthday’, Bella Astillah Jawab Dakwaan Tidak Izin Keluarga Aliff Aziz Jumpa Anak

Mya Amri 17/07/2025 | 05:27 MYT
Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah tidak mengetahui tentang hantaran yang dimuat naik oleh ibu mentua, Siti Hafiza Basharahil sempena ucapan hari lahir buat anak-anaknya.

Bella atau nama penuhnya, Dayang Ara Nabella Astillah, 31, mengakui dia hanya menyedari tentang hantaran itu selepas ramai yang memperkatakan tentang perkara tersebut.

“Saya tak perasan posting itu, tapi nampaklah ada orang bercakap-cakap, saya hanya minta doakan yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak,” ujarnya.

Bella berkata demikian ketika ditemui di majlis sambutan Solar Time yang ke-44 bertempat di IOI Mall, Putrajaya pada Khamis.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa dia tidak membenarkan keluarga bekas suaminya, Aliff Aziz, bertemu dengan kedua-dua anak mereka, Ayden Adrean dan Ara Adreana, Bella berkata dia lebih selesa memilih untuk tidak mengulas lanjut.

“Saya tidak berkesempatan untuk tanya mama, mungkin ada. Kalau saya cakap iya pun takut salah, kalau cakap tak pun takut salah juga.

“Saya tak berani nak komen tentang perkara itu. Saya hanya minta peminat yang ambil berat tentang anak-anak saya, doakan yang terbaik untuk keluarga saya,” ujarnya.

Terdahulu, ibu kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz, Siti Hafiza Basharahil menitipkan ucapan menyentuh hati sempena ulang tahun kelahiran dua orang cucunya.

Menerusi catatan yang dimuat naik di media sosial, wanita yang mesra dipanggil Umi Wan oleh keluarga itu meluahkan rasa syukur atas pertambahan usia cucu-cucunya.

Dalam nota yang ditujukan khas buat Ayden dan Ara, dia mendoakan agar mereka membesar dengan sihat, bahagia serta menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Malah katanya, meskipun jarak memisahkan, kasih sayang terhadap cucu-cucunya tidak pernah luntur.

Malah, Siti Hafiza menegaskan bahawa cinta terhadap mereka kekal utuh dan abadi, walaupun tidak dapat bersama secara fizikal.
#Anak #Aliff Aziz #Birthday #Bella #Astillah #'mentua