Hiburan
Tak Percaya Pembantu Rumah, Jaclyn Victor Asuh Anak Sendiri
Penyanyi Jaclyn Victor atau nama sebenarnya, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 38, mengasuh anaknya sendiri tanpa bantuan pembantu rumah.
Melahirkan anak sulungnya, Jonah Joshiah Rivera pada 24 Ogos tahun lalu, Jaclyn tidak mempercayai kehadiran pembantu rumah.
“Secara peribadi, saya tidak percayakan pembantu rumah selepas membaca pelbagai kes kanak-kanak didera oleh pembantu rumah sendiri. Perkara itu membuatkan saya dan suami rasa takut untuk membiarkan anak lelaki kami dijaga oleh orang lain.
“Walau sepenat mana pun saya dan suami, seboleh-bolehnya kami akan menjaga anak sendiri. Namun begitu, jika kami berdua terikat dengan komitmen kerja, anak kami akan dijaga oleh ibu saya. Secara kebetulan, ibu saya tinggal berdekatan dengan rumah kami dan perkara itu memudahkan urusan kami,” kata Jaclyn kepada Astro Gempak.
Tambah Jaclyn, dia juga tidak pernah terfikir untuk memperlahankan rentak kerjayanya dalam industri nyanyian tanah air.
“Apabila saya bergelar ibu, saya belajar untuk membahagikan masa. Kerjaya saya sebagai penyanyi tidak memerlukan komitmen masa yang lama. Semuanya berjalan seperti biasa.
“Saya masih aktif mengambil tawaran nyanyian seperti dahulu. Apa yang penting, saya boleh membahagikan komitmen saya sebagai penyanyi dan ibu agar semuanya seimbang,” katanya ketika ditemui di sidang media Separuh Akhir Muzik Muzik 31 pada Selasa.
Jaclyn berjaya mara ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 31 menerusi lagu Seindah Mimpi, ciptaan oleh Edry Abdul Halim liriknya pula hasil kolaborasi Edry bersama Jaclyn.
Selain lagu Seindah Mimpi, Separuh Akhir Muzik Muzik 31 akan turut menyaksikan 29 lagu lain bertanding untuk merebut tempat ke Anugerah Juara Lagu 31 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Saksikan Separuh Akhir Muzik Muzik 31 yang bersiaran secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam pada 4 dan 11 November ini bermula jam 9.00 malam di TV3.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Must-Watch Video