Penyanyi dan Bintang Dansa Dan Sing, Shiha Zikir berasa selesa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun tidak dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Menurut Shiha, setiap orang harus menerima perintah kerajaan itu dengan positif.

"Semestinya ramai dalam kalangan masyarakat yang berasa 'down' kerana tidak dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa, ramai juga yang hilang mata pencarian.

"Bagi saya, ia bergantung kepada seseorang individu, kalau kita anggap suatu keadaan itu positif, maka ia akan menjadi positif.

"Setiap apa yang berlaku kepada kita ada hikmah dan sudah tentu ada rezeki di sebaliknya," kata Shiha.

Shiha berkata demikian ketika ditemu bual secara langsung dalam segmen #ArtisDudukDiam di Instagram Astro Gempak pada Sabtu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Pipiyama ini menambah, dia memanfaatkan tempoh PKP untuk meluangkan masa bersama insan tersayang dan melakukan aktiviti yang berfaedah.

"Ketika PKP ini, saya dapat peluang untuk meluangkan masa dengan keluarga, memasak dan membaca buku.

"Ada juga kawan-kawan yang lama tidak berjumpa menghubungi saya kembali untuk berbual secara online.

"Sebelum ini saya tak sempat untuk lakukan semua perkara itu kerana jadual kerja yang sibuk, sekarang dalam tempoh berada di rumah ini, banyak perkara baru yang saya dapat untuk kebaikan diri sendiri.

Dalam perkembangan terbaru, Shiha bakal melancarkan single terbarunya yang menampilkan konsep tarian tidak lama lagi.

Difahamkan, muzik video lagu tersebut akan menampilkan kumpulan Team Squad yang mengiringinya ketika berentap di pentas Dansa Dan Sing.


Imbas kembali persembahan Shiha & Team Squad dalam Dansa Dan Sing menerusi aplikasi Astro Go. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang!