Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Justeru, semua orang dikehendaki untuk berada di rumah melainkan individu yang perlu berkhidmat kepada negara.

Bagi mengelakkan anda keluar berulang kali meninggalkan kediaman untuk ke pasar raya mendapatkan keperluan harian, terdapat beberapa tip yang boleh diikuti untuk mengekalkan kesegaran barangan makanan terutama sayur dan buah-buahan.

Memetik daripada Twitter @MingguanWanita, cara terbaik untuk sayur dan buah tahan lama adalah dengan merendam dalam air garam terlebih dahulu.

"Simpan sayur tahan lama. Sayur dan buah rendam dalam air garam dulu. Dalam 10-15 minit bagi kotor keluar.

"Kalau perasan lepas 20 minit air tu jadi berminyak. Ni sepupu kerja MARDI bagi petua.

"Lepastu masukkan air sampai tenggelam. Saya buat macam ni selalu okey dan tahan lama," kongsinya.Menjengah di ruangan komen, rata-ratanya bersetuju kerana langkah itu berjaya.

Malah, ada yang mencadangkan supaya menggunakan bekas bagi mengelakkan kebocoran.

"@ciliapipedas: Kalau takut risiko plastik pecah atau bocor, korang alas tisu dalam bekas. Lepastu simpan sayur dalam bekas tu. Sebulan masih segar.

"@hanezgoldsilver: Terima kasih untuk info ini. Haritu baru cuba tips simpan cili letak bawang putih. Berjaya. Kalini nak cuba tips ni pula.

"@FinazUzma: Ya memang dah lama saya buat cara ini. Buang racun sayur dengan garam. Memang tahan lama. Tips dia, lepas rendam terus keringkan pakai kipas. Dah kering letak dalam plastik. Oh penting juga lebersihan peti ais. Kalau tidak sayur lagi cepat rosak," antara komen-komen yang ditinggalkan.



Untuk makluman, Malaysia terpaksa akur selepas kes COVID-19 kini mencecah 2,031 orang dengan 23 rekod kematian sehingga jam 5 petang (26 Mac).

Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan perkara yang boleh mencegah COVID-19!


Foto: Google