"Tak Perlu Pening Fikir Nak Beli Hadiah Apa" - Memey Suhaiza Dapat Hadiah Jambangan Duit Sempena Anniversary!

ZULHILMI JALIL
September 25, 2020 05:35 MYT

Pasangan pelakon Memey Suhaiza dan Norman Hakim menyambut ulang tahun perkahwinannya yang kesembilan semalam.

Sempena hari yang cukup bermakna itu, pasangan tersebut meraikannya di sebuah restoran yang terletak di Menara Kuala Lumpur.
Begitupun, apa yang mencuri tumpuan adalah hadiah yang diterima Memey daripada suaminya.
Sudah menjadi kelaziman, antara hadiah yang sering diberikan kepada pasangan adalah jambangan bunga.
Namun, berbeza sedikit kali ini apabila Norman memberikan isterinya jambangan duit buat isteri tercinta.
Menurut Norman, dia sengaja memberikan hadiah berupa duit untuk memudahkan isterinya membuat pilihan sendiri barang yang ingin dibeli kemudian nanti.
"Alhamdulillah ada orang tu gembira sangat dapat bunga ‘money’ bouquet macam tu.
"Senang kita orang lelaki tak perlu pening fikir nak beli hadiah apa. Kita beri macam ni pandai-pandai nanti isteri nak beli hadiah apa yang betul-betul dia nak," kata Norman.

Sementara itu, Memey menerusi entri di Instagram mengakui cukup gembira dengan pemberian yang cukup bermakna daripada Norman itu.
"Selalu dapat bunga pun gembira dah, tak sangka rasa jambangan bunga macam ni. Lain lagi perasaannya. Nak selalu..boleh mummy berbelanja", katanya.
Di ruangan komen, rata-rata cuba menebak jumlah wang tunai yang diterimanya dalam bentuk jambangan tersebut.
Ada yang meneka jumlah wang kertas bernilai RM50 itu berjumlah RM2,000 keseluruhannya.
"RM2,000, cerah mara tengok jambangan bunga macam ni.
"Kepoci betul kita dok kira berapa duit Memey dapat," komen sebahagian pengikutnya.

Memey dan Norman mendirikan rumah tangga pada 24 September 2011.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 7, Muhammad Dikhriz Hakim, 5 dan Mikayla Delisha Hakim, 2.

#Memey Suhaiza #Norman Hakim #Anniversary