Laman Utama
Tak Perlu Tunggu Ugut Atau Pujuk, Sarimah Ibrahim; "Minta Maaf Itu Murah"
Selebriti versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim punyai pandangan peribadi terhadap penggunaan media sosial pada masa kini.
Katanya, media sosial kini menjadi platform untuk seseorang berkongsi kehidupan seharian tanpa mencerminkan secara keseluruhan.
"Sesetengah orang akan menayangkan segalanya di media sosial. Itu pilihan mereka.
"Tetapi tidak semestinya yang tidak tayang ini bermakna mereka tidak ada apa untuk dikongsikan.
"Mungkin mereka pun ada kecantikan, kesedihan, kesakitan, kekayaan, kesusahan, kekayaan dan sebagainya. Cuma tidak semua yang anda nampak itu mencerminkan segalanya," tulisnya di Instagram Stories baru-baru ini.
Tambah pelantun lagu Kini Kau Tiada itu lagi, corak publisiti individu menggunakan media sosial juga berbeza mengikut perubahan zaman.
Seawal usianya memasuki bidang seni, kongsi Sarimah dia teruja menantikan berita atau artikel yang ditulis di majalah atau akhbar.
"Ketika saya memulakan langkah dalam industri ini, kita akan menunggu dengan penuh terujanya untuk menjadi wajah hadapan majalah atau artikel yang bercakap mengenai kerja dan pencapaian.
"Media sosial hari ini seperti ruang iklan peribadi dan sampul hadapan mini yang mana kitalah editor, jurugambar dan penulisnya," katanya yang turut sertakan tanda pagar #dontbelieveallthehype dan #dangeroustime.
Sementara itu, Sarimah turut mengulas mengenai isu semasa berkaitan permohonan maaf di media sosial.
"Berdasarkan pandangan saya, sejujurnya jika mengambil tempoh masa yang lama untuk membuat permohonan maaf, saya fikir ia tidak ikhlas.
"Kisah yang tepat tidak memerlukan pujuk rayu atau ugutan. Ia hanya memerlukan kesedaran dan refleksi peribadi seseorang itu.
"Minta maaf itu murah. Manusia je yang jual mahal," tambahnya yang turut disertakan #sorryisjustaword dan #actionsshowmore.