Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Tak Pernah Ada RM40,000 Dikreditkan Ke Akaun Bank" - Syarikat Pengurusan Nafi Scha Elinnea Terlibat Aktiviti Tak Bermoral

ZULHILMI JALIL
21/10/2020 06:50 MYT
Syarikat pengurusan pelakon Scha Elinnea menepis dakwaan bahawa artis naungannya itu mempunyai kaitan dengan aktiviti tidak bermoral seperti yang tular dalam kalangan netizen susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegiatan artis meraih pendapatan sehingga RM40,000 baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan media, Absolute Management memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa memantau aliran tunai peribadi dalam akaun Scha atau nama sebenarnya, Natasha Mohamed Mubeen, 21.

"Selaku pihak pengurusannya, kami mempunyai aliran tunai keluar masuk ke dalam akaun peribadi dia sejak dahulu lagi dan tidak pernah ada jumlah RM40,000 dikreditkan ke dalam akaun banknya.

"Sebagai syarikat pengurusan yang bertindak dalam menguruskan kalender dan jadual hariannya, Scha merupakan seorang artis yang komited dalam kariernya sebagai pelakon," katanya.

Penafian itu dibuat susulan tindakan sebuah blog yang didakwa menggunakan paparan tangkap layar dalam artikel berhubung isu skandal seks artis.

Katanya, tindakan blog berkenaan yang menggunakan profil Instagram artis naungannya itu sebagai gambar hiasan telah mencemarkan imej Scha biarpun tidak ada menyebut namanya dengan jelas.

"Tindakan tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan artis kami menerima kritikan yang negatif di media sosial miliknya.

"Perkara ini secara tidak langsung telah mencalarkan reputasinya sebagai seorang pelakon baharu," katanya.

Pada masa sama, syarikat pengurusan tersebut turut memberikan tempih 24 jam kepada blog berkenaan untuk membuat permohonan maaf.

"Sekiranya gagal berbuat demikian, kami akan mengambil tindakan mengikut undang-undang sebagai langkah seterusnya," katanya.

Sebelum ini SPRM mendedahkan terdapat aktiviti pelacuran dalam kalangan selebriti yang mampu meraih pendapatan lumayan.

Penemuan tersebut merupakan sebahagian daripada hasil siasatan susulan aktiviti Macau Scam yang juga mengaitkan beberapa artis baru-baru ini.



#Scha Elinnea #Bank #Syarikat Pengurusan
;