Penyanyi yang juga merupakan adik kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza, Siti Sairah akui tidak pernah memaksa anaknya, Umairah untuk menyanyi.

Menurut laporan astro AWANI, Sairah memberitahu bakat menyanyi dalam diri Umairah atau lebih mesra dengan sapaan Umai bukanlah atas bimbingan keluarga.

Sebaliknya, kata Siti Sairah, minat dan keinginan menyanyi hadir sendiri dalam diri Umai.

"Saya tidak pernah ajar, tidak pernah dedah dan tidak pernah paksa Umai untuk jadi penyanyi. Dia sendiri yang suka menyanyi," kata Siti Sairah dalam temubual dengan Astro AWANI.

Melihat minat bersungguh-sungguh serta kecemerlangan bakat seni Umai menyebabkan Siti Sairah tidak mampu menghalang anaknya untuk melebarkan karier nyanyian walaupun dalam masa sibuk dengan persekolahan.

"Syarat utama buat Umai ialah dia harus fokus pada pelajaran. Nyanyian hanya untuk isi masa lapang. Keutamaan harus diberikan pada sekolah.

“Saya tidak mahu dia mengabaikan pelajarannya," kata Siti Sairah mengenai anaknya yang belajar di sebuah sekolah Cina di Kuantan, Pahang.

Dalam pada itu, penglibatan Umai dalam bidang nyanyian juga semakin terserlah berikutan penyertaanya dalam program Ceria Megastar Ministar.

Setiap minggu beraksi, tumpuan penonton padanya semakin meningkat kerana kemerduan suara serta aksi persembahannya saling tidak ubah seperti Siti Nurhaliza.

Mengakui Siti Nurhaliza berbangga dengan pencapaian Umai, Siti Sairah berkata, kakaknya itu tidak terlepas memberi sokongan buat si cilik itu.

"Kak Siti (Siti Nurhaliza) gembira dan memberi sokongan pada Umai serta menasihati Umai agar sentiasa konsisten dalam menyanyi," ujar Siti Sairah berkongsi nasihat yang dititipkan kakak kesayangannya itu.

Dihoskan oleh Nabil Ahmad, konsert Ceria Megastar Ministar yang bersiaran setiap Jumaat bermula 14 Jun lalu disiarkan di Astro Ceria (saluran 611), Astro Prima (saluran 105), Astro Prima HD (saluran 121) dan Astro GO.

Ceria Megastar Ministar juga turut menyaksikan Datuk Aznil Hj Nawawi dan Zizan Razak sebagai juri tetap manakala Mark Adam pula bertindak sebagai Guru Vokal.