HIBURAN
Tak Pernah Beli Baju Raya, Tahu-Tahu 10 Pasang Dah Siap Untuk Rossa
Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa mendedahkan bahawa dia tidak pernah berbelanja untuk menyiapkan pakaian sempena Hari Raya.
Sebaliknya, setiap busana yang disarungkan adalah pemberian daripada rakan-rakan pereka fesyen.
Menurut Rossa, dia bertuah kerana dikelilingi ramai pereka fesyen yang sentiasa menyokong dan menghadiahkan busana raya kepadanya setiap tahun.
“Bergantung kepada mereka yang memberi, sebab saya banyak kawan-kawan pereka fesyen jadi mereka banyak memberikan baju raya kepada saya. Jadi ia adalah masa untuk kita saling menyokong antara satu sama lain.
“Saya kalau ada buat apa-apa acara akan jemput mereka, hantar merchandise jadi bila hari raya mereka pula hantar baju kepada saya. Saya jarang beli baju raya dan mereka berikan untuk saya sekeluarga. Alhamdulillah jimat duit saya,” katanya berseloroh.
Berkongsi pengalaman, Rossa memberitahu bahawa tradisi ini sudah berlarutan sejak awal pembabitannya dalam industri seni.
Untuk sambutan Aidilfitri pada tahun ini sahaja, Rossa sudah menerima 10 pasang baju.
“Sudah lama, saya rasa sejak saya jadi artis mereka sudah berikan kepada saya, kalau di Malaysia juga saya ada teman-teman yang berikan jadi saya juga pakai busana-busana daripada pereka fesyen di sini.
“Saya dah ada 10 pasang untuk tahun ini, cukup untuk seminggu beraya,” tambahnya.
Pada masa sama, pelantun lagu Ayat-Ayat Cinta itu juga berkongsi akan meluangkan masa selama empat hari untuk menyambut Syawal di rumah ibunya di Sumedang, Indonesia.
Kata Rossa lagi, selepas empat hari dia harus pulang ke Jakarta bagi membuat persiapan konsertnya yang akan tiba tidak lama lagi.
“Setiap tahun sama, saya akan pulang ke rumah ibu saya di Sumedang. Mungkin empat hari sahaja sebab lepas itu saya dah kena pulang ke Jakarta untuk latihan konsert pada bulan Mei dan Jun nanti,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Rossa juga bakal menganjurkan konsert 'Here I Am' pada 14 Jun depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Konsert 'Here I Am' ini turut mengundang penyanyi jemputan termasuk Ariel Noah dari Indonesia serta Ernie Zakri dan MK K-Clique.
Konsert tersebut adalah kesinambungan kejayaan siri konsert terdahulu iaitu Rossa 25 Shinning Years pada 2022 dan Another Journey: The Beginning (2023) yang menarik lebih 80,000 penonton di tiga negara.
Must-Watch Video