Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Tak Pernah ‘Hadap’ Pengiktirafan & Anugerah, Insomniacks Hanya Mahu Hiburkan Peminat - “Apa Yang Penting, Kami berasa Puas Bila…”

Asyikin Mayudin
16/08/2024 11:55 MYT
Band Insomniacks mengakui mereka tidak pernah dahagakan sebarang pengiktirafan mahupun anugerah sejak kemunculan dalam industri muzik tujuh tahun lalu.

Untuk kepuasan sendiri

Menurut vokalis yang juga pemain gitar utama Insomniacks iaitu Iqie, kumpulan mereka menghasilkan lagu hanya untuk kepuasan sendiri selain ingin menghiburkan peminat.

"Kami berkarya bukan untuk kejar anugerah atau penghargaan sebaliknya untuk kepuasan peminat. Kami tidak pernah anggap muzik kami lebih baik atau kumpulan kami lebih bagus dari band lain dalam industri.

"Anugerah tidak pernah menjadi visi dan keutamaan kami sebagai pemuzik dan anugerah tidak semestinya menjadi pengukur kejayaan sesebuah kumpulan itu kerana ada banyak lagi faktor lain.

"Apa yang penting, kami berasa puas bila melancarkan lagu baharu dan dapat membuat persembahan untuk semua peminat setia yang menyokong perjuangan muzik sejak dulu,” katanya.

Iqie dan dua lagi ahli Insomniacks iaitu Iskandar dan Danial ditemui pada sidang media pelancaran album terbaharu mereka berjudul Teman EP yang berlangsung di sebuah pusat beli belah, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lagu dalam album

Pada majlis sama, Insomniacks turut mempromosikan salah satu lagu yang terkandung dalam album Teman EP berjudul Belum Mulai duet bersama bintang Indonesia, Nabila Taqiyyah.

Dalam pada itu, disoal mengenai perancangan mengadakan konsert berskala besar, Iskandar menjawab perkara tersebut masih dalam perbincangan.

"Sebelum ini kami sudah buat ‘showcase’ dan memang ada perbincangan dengan label untuk buat konsert skala besar khusus untuk peminat nanti.

"Buat permulaan, lokasinya mungkin kecil sedikit berbanding di stadium. Mungkin lokasi seperti di Zepp, Kuala Lumpur."

Sekadar info, album Teman EP merupakan album ketiga Insomniacks dan sudah diluncurkan pada 9 Ogos lalu.

Teman EP menampilkan lapan trek iaitu Sayang/Cinta, Temani Hati, Dimana, Teman, Cerita Kita, Igauan Malam dan Belum Mulai.

#Anugerah #Insomniacks #Pengiktirafan #Band Insomniacks