Pelakon senior, Faizal Hussein, 51, mendedahkan dirinya harus menjalani sesi uji bakat sebelum ditawarkan membawa watak Karim Osman dalam filem Dukun.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang lakonan, Faizal pada awalnya ragu-ragu untuk menghadiri sesi tersebut.

"Filem terbitan Astro Shaw ini menjadi filem pertama yang memerlukan saya menghadiri uji bakat. Saya juga pelik, kenapa saya harus menghadiri uji bakat sedangkan ketika itu saya sudah lama berlakon?

"Namun begitu, selepas diberikan penjelasan, barulah saya faham dan rasa teruja ingin menghadirkan diri untuk mendapatkan watak Karim," kaat Faizal.

Mengimbas semula pengalaman yang ditempuhinya ketika menghadiri sesi terbabit, Faizal harus melakukan beberapa tugasan.

"Biarpun sudah hampir 12 tahun berlalu, saya masih ingat lagi pengalaman tersebut. Saya harus melontarkan monolog dan berlatih beberapa bahagian skrip dengan semua pelakon.

"Selepas itu, pengarah filem Dukun, Dain Said meminta saya datang dengan wajah tidak terurus dan memakai sut lengkap untuk menghidupkan karakter peguam bernama Karim.

"Alhamdulillah, akhirnya saya ditawarkan watak itu. Walaupun sudah lama menantikan filem ini, saya berharap semua peminat dapat menyokong Dukun dan menyaksikan filem ini di pawagam," katanya lagi.

Ditayangkan bermula 5 April lalu, filem Dukun berjaya meraih kutipan sebanyak RM6.2 juta selepas empat hari tayangan.

Selain Faizal, filem Dukun yang menampilkan lakonan hebat Datin Seri Umie Aida sebagai terju utama ini turut dibintangi oleh pelakon hebat lain seperti Namron, Bront Palarae, Elyana, Soffi Jikan dan Hasnul Rahmat.

Buat semua peminat filem tempatan yang ingin tahu kesudahan filem Dukun, jangan lupa saksikan keseluruhan filem tersebut di pawagam sekarang dalam versi siaran yang lebih baik serta sistem bunyi yang berkualiti!

Teks oleh: Kamaruddin Razal

Hikmahnya diperap...

A post shared by Faizal Hussein (@faizalhusseinofficial) on

Alhamdulillah !

A post shared by Faizal Hussein (@faizalhusseinofficial) on