Penyanyi Suki Low menafikan dakwaan bahawa single terbaharunya berjudul Bahagia Yang Sebentar mempunyai kaitan dengan isu kecurangan yang menjadi topik hangat ketika ini.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Suki berkata lagu itu sebenarnya sudah lama dibuat oleh komposernya iaitu Shila Amzah dan tiada kaitan dengan mana-mana situasi yang berlaku.

“Tidak pernah terfikir pula, kalau tak terfikir, itu maknanya bukan niat kami. Kalau lihat dan amati pada liriknya, tidak ada menjurus kepada kisah yang diperkatakan.

“Sebagai pemuzik, bila kita keluarkan sesebuah lagu ia terpulang pada pendengar untuk mentafsirkan tentang lagu tersebut mengikut pandangan masing-masing.

“Lagu ini mengisahkan tentanf kehilangan seseorang, jadi sesiapa yang pernah melalui situasi atau fasa kedukaan dalam kehidupan mereka pasti akan tersentuh ketika mendengarnya.

“Kehilangan yang dimaksudkan tidak hanya terhad atau berkaitan dengan percintaan sahaja malah dalam ahli keluarga dan juga rakan-rakan,” jelasnya.

Suki ditemui pada majlis sidang media mempromosikan single Bahagia Yang Sebentar bertempat di The Face Suites, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tambah Suki lagi, lagu itu juga sebenarnya berdasarkan pengalaman dan kisah hidup yang dilalui Shila sendiri.

“Sebenarnya, saya sendiri tidak sangka akan mendapat lagu daripada Shila, rasa terharu sangat. Saya terima demo lagu ini sehari selepas GV8 berakhir.

“Semasa Shila memberikan lagu ini kepada saya, saya terus bertanya sama ada dia serius kerana lirik lagu ini berkait rapat dengan kehidupan peribadinya.

“Saya berbesar hati kerana diberi kepercayaan oleh Shila untuk menerima naskhah ini, bagi saya dia bukan hanya seorang penyanyi tetapi juga komposer yang bagus.

“Jadi saya harap lagu ini akan diterima ramai dan pendengar akan menyukai single terbaharu ini,” ujarnya.

Bahagia Yang Sebentar sudah boleh distrim di semua pelantar muzik digital dan video muzik rasminya dapat ditonton menerusi saluran YouTube: Nova Music Video.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.