Berita
“Tak Popular Pun Tak Apa”- 32 Tahun Dalam Industri, Bell Ngasri Berlakon Selagi Diterima
Pelakon Bell Ngasri bersyukur selama 32 tahun berada dalam industri seni, rezekinya dalam bidang lakonan tidak pernah terhenti.
Menurut Bell, 38, meskipun dia tidak popular seperti selebriti lain namun dirinya masih diterima dan mendapat perhatian produser televisyen (TV) dan filem.
“Alhamdulilah, saya mula berlakon ketika usia saya enam tahun sehingga sekarang, rezeki tidak pernah putus dan masih menerima tawaran untuk berlakon.
“Saya memang cari makan dengan berlakon, besar atau kecil tawaran yang saya terima saya tetap buat yang terbaik.
“Tak popular pun tak apa kerana saya akan berlakon selagi orang mahukan saya dan sampai orang ‘menyampah’ lihat saya di kaca TV,” katanya kepada Gempak.
Bell ditemui selepas tayangan media filem Hero baru-baru ini.
Ketika ditanya adakah dia kini hanya terhad menjayakan watak komedi sahaja, Bell mempunyai jawapan tersendiri.
“Tiada masalah untuk saya kembali menjayakan watak serius seperti zaman remaja suatu ketika dahulu. Masalahnya tiada orang panggil (tawarkan), takkan saya mahu berlakon seorang diri.
“Sedar atau tidak, sudah 10 tahun saya buat (lakonan) lawak. Sejujurnya, saya tak kisah bawa watak apa sekali pun tetapi mungkin penonton sudah tidak boleh tengok saya serius,” katanya lagi.
Mengenai perkembangan terkini, Bell bakal muncul dengan filem Hero yang bakal menerusi penonton di pawagam bermula 3 Oktober 2019.
Selain Bell, filem tersebut turut dibintangi oleh Hisyam Hamid, Mark Adam, Elisya Sandha dan Datuk Jalaludin Hassan.