Berita
Tak Puas Hati Sebar Foto Isteri, 'Ayahanda' Ugut Bunuh Jaafar Onn
Pelakon Datuk Jaafar Onn menerima ugutan bunuh daripada seorang individu yang menggelarkan dirinya sebagai Ayahanda.
Pelakon yang popular dengan sitkom Cili Padi itu diugut menerusi Facebook Messenger pada pukul 3 petang semalam.
"Lelaki itu yang menggelar dirinya Ayahanda tidak berpuas hati apabila pelakon terbabit menyebarkan foto isterinya di laman sosial.
"Wanita itu sebelum ini didakwa tidak melangsaikan bayaran beberapa artis tempatan sebaik menganjurkan persembahan dalam negara," kata sumber polis kepada Harian Metro.
Tambah sumber itu lagi, Jaafar yang berniat membantu rakan artis bertindak menyebarkan foto wanita itu selain meninggalkan komen pada hantaran yang diluahkan beberapa artis.
Akibatnya, lelaki itu berang lalu memberikan ugutan terhadapnya.
Bimbang keselamatan diri dan keluarga, Jaafar membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan, jam 3.25 petang pada Khamis lalu.
Jaafar mengesahkan membuat laporan berkenaan namun enggan memanjangkan kes terbabit.
13 November lalu, enam artis telah mengadakan sidang media di Plaza Damas, Kuala Lumpur mendakwa telah ditipu oleh penganjur persembahan artis.
Selain Khaty Azean yang mendakwa diperdaya RM26,000, mereka yang lain adalah bekas anggota May, Mus, Rina Eva, Al Imran Jingga, Bandi Amuk dan Nik Putra.
Sumber: Harian Metro