Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Tak Rajin Berkomunikasi, Ramai Anggap Erin CTJ Sombong! - "Ramai Yang Tanya Kenapa Tak Pergi Ke …”

Asyikin Mayudin
16/09/2024 09:55 MYT
Penyanyi dan pelakon Erin CTJ menafikan dakwaan dirinya sombong kerana tidak mengekalkan hubungan baik dengan rakan-rakan yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini.

Faktor usia muda

Erin atau nama sebenarnya Siti Erin Syaheera Jamaluddin, menjelaskan faktor usia yang terlalu muda dan tidak rajin untuk berkomunikasi antara penyebab ramai yang salah anggap mengenai dirinya.

“Saya tahu ramai yang tanya kenapa tak pergi ke Indonesia dan dapatkan lagu dekat sana sebab saya salah seorang peserta program nyanyian di sana.

“Apa yang boleh saya cakap, saya tidak terlintas mengenai perkara tersebut. Lagipun saya seorang yang tak rajin berkomunikasi. Ketika saya menyertai pertandingan Dangdut Academy Asia di Indonesia, umur saya terlalu muda berbanding peserta lain iaitu 16 tahun.

“Jadi saya hanya ikut senior ke sana dan fokus terhadap pertandingan sahaja. Habis pertandingan terus balik ke Malaysia sebab saya masih bersekolah,” katanya kepada Gempak.

Lupa ambil peluang

Erin turut tidak menafikan bahawa pada waktu itu dia terlupa untuk mengambil peluang menjalinkan kerjasama dengan ramai orang di sana demi kebaikan masa hadapan.

“Sekarang ibu ada memberi nasihat kepada saya agar mengekalkan semula bonding dengan rakan-rakan yang pernah saya bekerjasama sebelum ini,” ujarnya.

Disoal mengenai tuah lebih memihak kepada bidang lakonan berbanding nyanyian sejak kebelakangan ini, Erin berkata dia berserah kepada rezeki.

Rezeki berlakon

“Saya tak menafikan rezeki banyak datang daripada bidang lakonan berbanding nyanyian. Kalau nak diikutkan saya nak fokus 100 peratus menyanyi. Tapi tak tahu banyak tawaran berlakon yang masuk sekarang.

“Mungkin pihak produksi drama nampak usaha dan semangat saya yang mahu belajar dalam bidang lakonan juga. Jadi mereka bagi saya peluang. Saya tak kisah buat masa sekarang asalkan berada di dalam industri yang sama,” katanya.

Sukar bersaing

Erin yang ditemui ketika sidang media drama Satu Hari Nanti yang diadakan di Flint Cafe & Roastery, The Curve, Petaling Jaya, baru-baru ini turut mengakui dia berasa sukar untuk bersaing dengan penyanyi baharu yang lain.

“Pemilihan lagu pada masa sekarang sangat penting sebab penyanyi dah ada banyak persaingan. Ramai artis baharu sekarang ini bijak dan guna banyak platform media sosial untuk mereka mempromosikan lagu.

“Sebagai seorang penyanyi, saya cuba ambil inisiatif yang sama seperti mereka. Saya buat konten di TikTok dan ada kalanya memuat naik video nyanyian supaya orang ingat dan tahu saya seorang penyanyi," katanya.

Di akhir temu bual, Erin berkata, dia bakal terlibat dengan beberapa projek drama lagi selepas ini dan bakal memasuki set penggambaran dalam masa terdekat.

#Erin CTJ #Erin CTJ sombong #Penyanyi Erin #Peserta Dangdut Akademy Asia
;