Penyampai radio Muaz Mohamed tidak merancang untuk mempunyai zuriat yang terlalu ramai.

Katanya, memadai untuk dia memiliki dua cahaya mata kini dan seandainya dikurniakan rezeki dia ingin untuk mempunyai sekurang-kurangnya empat anak.

"Saya membesar seramai tiga beradik sahaja, jadi rasanya sudah cukup untuk sebuah keluarga.

"Yang penting proses untuk menjaga dan memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Saya takut, kalau anak terlalu ramai sangat saya tak sempat nak memberikan kasih sayang seadilnya untuk mereka.

"Tetapi kalau ada rezeki apa salahnya. Cuma kalau ditanya keselesaan, punyai cahaya mata tiga ke empat orang sudah mencukupi.

"Paling penting, jaga amanah itu supaya apabila mereka dewasa kita tidak dipersalahkan kalau ada bahagian terlepas pandang ketika mereka sedang membesar,' katanya kepada Gempak.

Berbahagia dikurniakan dua cahaya mata Emirza Mukhri, 5, dan Ezra Mikahail, 6 bulan, Muaz seronok melihat perkembangan kedua-dua arjuna hatinya itu.

"Sejak Emirza ada adik baru, dia semakin penyayang dan menghargai apa yang ada di sekelilingnya.

"Walau ada kadang-kadang buat perangai tapi dia tak tunjukkan rasa cemburu pun apabila sudah ada adik," tambahnya.

Muaz akui bergelar bapa muda memerlukannya memberikan komitmen terhadap kerjaya dan kehidupan untuk menyara keluarga.

"Cabaran utama saya untuk membahagikan masa dan jujur saya katakan saya banyak mengorbankan masa rehat saya dan berlibur.

"Saya tidak lagi keluar melepak sampai lewat malam sebab mahukan waktu tidur yang cukup dan disebabkan itulah pada hujung minggu saya memperuntukkan masa untuk bersenam dan beriadah bersendirian di taman berhampiran tempat tinggal saya.

"Selain mempertingkatkan stamina, berlari juga misalnya menjadi 'me time' bagi saya sebenarnya," katanya.

Muaz dalam perkembangan sama akan terlibat dalam acara larian Kami Caring Run 2019 pada 17 November 2019 di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur.

Acara larian pertama anjuran syarikat farmasi terkenal Caring itu membuka peluang kepada orang ramai untuk menyertai dua kategori sama ada 5 kilometer fun run dan 12 kilometer competitive run.

Pendaftaran berharga serendah RM30 Kami Caring Run 2019 telah dibuka kepada orang ramai.