Tanggal 11 Jun 2020 maka genaplah setahun adik Ainul Mardhiah menjalani pembedahan untuk membuang Germ Cell Tumour di London.

Berkongsi semula momen mengharukan itu, Dr. Amalina Bakri menitipkan harapan dan semangat buat si cilik itu.

"Hari ini, genap setahun Ainul Mardhiah dibedah. Tidak sangka cepat sungguh masa berlalu.

"Kini, Ainul seorang bayi yang sangat ceria dan banyak keletah.



"Terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan pembedahan ini.

"Tidak lupa juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang banyak membantu. Anda adalah hero yang sebenar.

"Tidak sabar mahu melihat Ainul berlari-lari di taman permainan, InsyAllah," tulis Amalina menerusi akaun Twitternya.

Ainul yang berusia sembilan bulan ketika itu telah selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di mulutnya seberat 200 gram.

Detik penuh makna itu mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia dan perkembangan adik Ainul sentiasa ditunggu-tunggu.

Amalina antara individu yang bertungkus-lumus membantu dan menyediakan kemudahan sepanjang proses pembedahan si cilik itu.