Aktres Riena Diana, 23, menyatakan dia sangat teruja untuk memulakan penggambaran drama bersiri Kampung People musim kedua tidak lama lagi.

Kata Riena, dia tidak sabar untuk kembali membawa watak Lailer namun dalam masa sama berasa gementar dengan penerimaan penonton.

"Penggambaran musim kedua ini sepatutnya sudah dimulakan. Tapi disebabkan wabak Covid-19 terpaksa ditunda.

"Saya memang teruja sangat untuk kembali ke set penggambaran. Maklum la dah tiga bulan duduk di rumah saja.

"Lagi rasa tak sabar bila dapat tahu banyak yang baru untuk musim kedua ini.

"Namun perasaan gementar tu tetap ada. Saya nak buat benda baru untuk penonton supaya mereka tak rasa bosan nanti," katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, pemilik nama Nur Qamarina Diana Zulreal sudah mula menghafal skrip yang diterima sejak tiga hari lalu.

"Seronok tak terkata bila skrip dah dapat walaupun baru separuh. Sejujurnya saya dah cari inspirasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi," katanya lagi.

Selain Riena, drama ini turut dibintangi Elly Mazlein, Hun Haqeem, Rashidi Ishak, Datuk Fizz Fairuz dan ramai lagi.