Tak Sabarnya! Tablo Sahkan Epik High Bakal Berkolaborasi Dengan Yuna & BTS Suga

Mya Amri
Februari 28, 2019 09:42 MYT
Kumpulan Hip Hop terkenal Korea, Epik High mengesahkan bakal berkolaborasi dengan penyanyi antarabangsa, Yuna dan juga BTS Suga.
Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh salah seorang anggota Epik High, Tablo menerusi akaun Instagram dan Twitternya.
“Kerjasama ini adalah sebahagian daripada kempen menjelang penerbitan album terbaharu Epik High "Sleepless in __" tulisnya.
Selain Yuna dan Suga dari kumpulan BTS, album yang bakal dilancarkan pada 11 Mac depan ini juga menyaksikan kerjasama Epik High dengan beberapa penyanyi terkenal lain Crush, Sunwoo Jung-a dan Code Kunst.
Sebelum ini, trio berkumpulan ini juga pernah bekerjasama dengan ramai artis terkenal termasuklah IU, Lee Hi (Korea Selatan) dan Sekai no Owari (Jepun).
Epik High dianggotai oleh Tablo, Mithra Jin dan DJ Tukutz merupakan bekas artis di bawah naungan syarikat pengurusan YG Entertainment.
Epik High telah bersama YG Entertainment sejak tahun 2011. Antara lagu popular mereka adalah Don’t Hate Me, Can You Hear My Heart (ost Scarlet Heart Ryeo), Born Hater dan Happen Ending.
YG Entertainment merupakan agensi yang telah menghasilkan kumpulan K-Pop terkenal antaranya BIGBANG, 2NE1, WINNER, iKON dan juga BLACKPINK.
Epik High memulakan kerjaya mereka pada 2003 dan melakar nama sebagai antara kumpulan bergenre hip hop alternatif yang paling disegani di Korea Selatan.
#Yuna #BTS Suga #Tablo