Penyanyi Ara Johari akui tergamam ketika dan hilang kata-kata berdepan dengan legenda rap, Malique ketika merakamkan lagu Keliru bersama Lil J.

Ara perkata dia tidak tahu Malique atau dikenali sebagai Mr. General berada di studio rakaman dan momen tersebut antara yang tidak akan dilupakan.

“Saya starstruck bila berdepan dengan Malique. Saya tak jangka Malique akan berada di studio sepanjang proses rakaman.

“Apabila dia berada di depan mata, saya kelu dan tak boleh nak bercakap sekejap. Saya terharu diberi peluang untuk menyanyikan lagu Mr.General dan dapat bekerjasama dengan beliau,” katanya.

Sementara itu, penyanyi rap muda, Lil Jay pula berbesar hati dan gembira kerana berpeluang mendapatkan ilmu serta pengalaman daripada Malique.

“Mr. General sangat humble walaupun kita tahu dia seorang komposer hebat dan tersohor. Saya terharu kerana beliau sudi memberikan tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman tentang bidang ini,” katanya.

Dalam pada itu Ara dan Lil J berterima kasih kepada pendengar yang memberi sokongan kepada lagu Keliru.

“Terima kasih atas maklum balas positif daripada kalian semua. Walaupun ini cubaan pertama Ara menyanyikan lagu bergenre hip-hop, tetapi atas sokongan semua saya mampu melakukannya.

“Lil J juga banyak beri tunjuk ajar. Saya bertuah kerana dapat mengutip pengalaman dalam memvariasikan muzik saya,” katanya.

Ara dan Lil J ditemui media secara virtual ketika mempromoikan single duet Keliru mendapat sentuhan komposer dan ikon hip hop terkenal, Malique serta Siqma dan Muhaimin.