Tak Sangka Ramadhan Tahun Lepas Kali Terakhir Saya Cium Tangan Abang - Nora

Syafiqah Jalal
Mei 28, 2017 03:05 MYT
Menyambut kedatangan bulan Ramadhan tanpa kehadiran suami tercinta, Johan Nawawi, pertama kalinya sukar bagi penyanyi Nora Ariffin.
Berkongsi luahan hatinya di laman Instagram miliknya, pelantun lagu Hanya Satu itu berkata dia mencuba sedaya upaya untuk tidak menitiskan air mata terutama di hadapan anak bongsunya, Putri Nur Fatehah, 5.
"Selamat menyambut Ramadan. Saya sedang mencuba sedaya upaya untuk tidak menitiskan air mata. Hanya Allah yang tahu. Ketika tarawih, tiba-tiba Putri meluahkan rindu terhadap arwah papanya.
"Berdoalah sayang, semoga kita bertemu papa di jannah nanti, insya-Allah. Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada kami sekeluarga," luah Nora.
Nora turut kongsikan rutin tahunan meraikan bulan Ramadan bersama arwah suaminya.
"Sudah menjadi rutin biasa, selepas tarawih abang akan tunggu saya dan Putri depan pintu. Kemudian saya akan salam tangan abang, kita moreh sama-sama dan pulang sama-sama.
"Semoga di sana nanti abang juga akan tunggu saya seperti abang tunggu di dunia.
"Tak sangka Ramadhan tahun lalu adalah kali terakhir untuk abang. Kali terakhir juga saya mencium tangan abang di bulan Ramadhan. Saya nak jumpa abang lagi," tulis Nora.
Johan menghembuskan nafas terakhir jam 6.30 pagi pada 24 Mac lalu di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) kerana serangan jantung.
Allahyarham adalah komposer terkenal yang mencipta nama sejak dekad 1980-an dan antara sentuhan popular pernah dihasilkannya termasuk Hanya Satu, Desa Tercinta, Samudera dan Naluri (Hadirlah Kekasih) yang dinyanyikan Nora.
Teks oleh: Amri Hassan
#Nora Ariffin #Johan Nawawi #Ramadhan