Raja Permaisuri Agong Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencuri perhatian wargamaya apabila mendedahkan lesen memandunya yang telah tamat tempoh.

Menerusi laman sosial Twitter, Tuanku berkongsi satu kicauan bersama foto lesen memandunya yang tertera kelas B, D dan E.

“Alamak…. Lesen mati!” tulis Tuanku ringkas menerusi satu kicauan.

Kelas B merupakan lesen bagi motosikal melebihi 500 cc (B Full) manakala kelas E adalah lesen bagi motokar berat melebihi 7500 kg (Lori).

Hasil tinjauan Gempak di Twitter, rata-rata netizen teruja apabila mengetahui Raja Permaisuri Agong mempunyai lesen lori dan motosikal berkuasa tinggi.

Malah, Tuanku sempat berjenaka apabila menjawab salah satu kicauan daripada wargamaya yang memberitahu Tuanku lupa untuk memohon lesen bagi mesin rumput.

Perkongsian daripada wargamaya itu sehingga kini telah menerima hampir 10,000 ulang kicau dan 12,000 tanda suka daripada warga Twitter.