Pelakon Zara Zya, 35, memilih untuk tidak berkongsi lebih mendalam mengenai kisah pencintaannya bersama kekasih kepada umum.

Kata Zara, dia lebih selesa merahsiakan namun bukan la disebabkan serik dengan kisah silam.

"Apa yang saya boleh cakap memang sedang mengenali seseorang tapi untuk bercerita mengenai hal lain seperti perkahwinan biarlah ia menjadi rahsia. Sebab sekarang saya nak fokus bisnes dahulu.

"Saya tak nak jadi macam dulu-dulu, jadi lebih baik saya rahsiakan hubungan baharu ini..Bukan serik tapi sekarang ini saya rasa lebih selesa begini.

"Kita rileks dulu, janji orang tahu kita dah ada (kekasih). Sejujurnya, sekarang ini bayangan nak kahwin pun belum ada.

"Kalau dah sedia nak kahwin kami akan terus buat, bukan nak sembunyi cuma itulah sekarang tak berani lagi nak cakap," katanya kepada Gempak.

Zara ditemui ketika majlis pembukaan restoran miliknya, ZaraZyaCooks (ZZC) di Jalan Setia Dagang, Setia Alam, Selangor semalam.

Dalam pada itu, pelakon drama Monalisa menyatakan dia mendapat sokongan penuh daripada teman lelaki untuk membuka restoran baharu itu.

"Dia sangat menyokong dan memberikan nasihat serta tunjuk ajar dalam bidang ini. Pesan dia macam biasa, jangan mudah putus asa dan kalau ada yang mencela atau cuba menjatuhkan, abaikan sahaja!

"Malah, dia turut menyokong karier saya sebagai pelakon. Walaupun dia tiada kaitan dalam bidang seni namun dia terbuka dengan banyak perkara," katanya lagi.