Pelakon antarabangsa, Jennifer Lawrence mengalami kecederaan berhampiran bahagian matanya ketika penggambaran filem terbaharu, Don't Look Up baru-baru ini.

Difahamkan, insiden tersebut berlaku apabila serpihan kaca yang meletup dan terkena pada wajahnya hingga berdarah.

Kejadian berlaku sekitar pukul 1 pagi di dalam sebuah restoran ketika Lawrence sedang melakonkan aksi untuk mencium hero filem terbabit, Timothee Chalamet.

Selepas kejadian, Lawrence, 30, hanya memegang mukanya sehingga pasukan paramedik tiba di lokasi penggambaran.

Bagaimanapun, penerbit filem berkenaan enggan mengulas lanjut mengenai kemalangan terbabit begitu juga jurucakap aktres itu.



Don't Look Up diarahkan oleh Adam McKay dan turut dibintangi Timothee Chalamet, Ariana Grande, Leonardo DiCaprio, Chris Evans dan Meryl Streep.

Kali terakhir Lawrence muncul menerusi filem X-Men: Dark Phoenix pada tahun 2019 sebelum mendirikan rumah tangga bersama Cooke Maroney.