Pemain badminton Indonesia Syabda Perkasa Belawa, 21 dilaporkan meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Pemalang, Jawa Tengah, awal pagi Isnin.

Tragedi yang berlaku sekitar pukul 3.40 pagi itu turut mengorbankan ibunya, Anik Sulistyowati, 48.

Kedua-dua beranak itu meninggal dunia di tempat kejadian sementara bapanya, Muanis Hadi Sutamti serta dua kakaknya iaitu Diana Sakti Anistyawati dan Tahta Bathari Cahyaloka pula mengalami kecederaan.

Syabda dan keluarganya dilaporkan dalam perjalanan ke Sragen bagi menghadiri majlis pengebumian neneknya yang meninggal dunia pada Ahad malam.

Menurut laporan media tempatan, kereta yang dipandu bapa Allahyarham Syabda itu dipandu laju sebelum merempuh sebuah trak di Plaza Tol Pemalang.

Polis mengesyaki, keletihan pemandu menjadi punca kemalangan itu berlaku.

Jenazah Syabda dan ibunya serta neneknya dikebumikan dalam satu liang lahad pada tengah hari Isnin di kampung halaman mereka di Sragen.

Dalam kariernya, Syabda tersenarai sebagai antara pemain skuad kebangsaan Indonesia untuk kejohanan Piala Thomas 2022 ketika menentang Korea Selatan.

Allahyarham juga telah meraih tiga kemenangan kategori pemain badminton perseorangan di Lithuanian International 2022 dan Malaysia International 2022.

Susulan kejayaan berganda pada 2022, Syabda turut meningkatkan prestasinya apabila meraih kejuaraan di Iran International 2023.

Beliau kini berada di kedudukan 135 dunia dalam senarai pemain badminton antarabangsa.

Sementara itu, Persatuan Badminton Indonesia (PBSI) menyifatkan pemergian Syabda satu kehilangan besar buat negara itu.

Sumber: Astro Awani