HIBURAN
Tak Sempat Tarik Nafas! Wali Band Buat Penonton 'Goyang' Sampai Hujung Konsert Jiwa Kacau 2025
Lebih kurang 13,000 penonton membanjiri Stadium Hoki Bukit Jalil pada malam Sabtu lalu sempena konsert Jiwa Kacau 2025 yang menyaksikan persembahan penuh bertenaga daripada barisan penyanyi ternama dari Malaysia dan Indonesia.
Antara momen paling mencuri tumpuan sudah tentu ketika kumpulan Wali dari Indonesia mengambil alih pentas dan menyajikan persembahan ‘roller coaster’ emosi dengan selawat, doa dan dalam masa sama membuat penonton ‘berjoget sakan’ terutamanya ketika lagu popular Tobat Maksiat dimainkan.
Meski selitan spiritual disampaikan dengan tenang dan sopan, suasana kembali hangat apabila ribuan peminat berdiri dan melompat bersama irama rancak lagu-lagu seperti Yank, Cari Jodoh dan Aku Bukan Bang Toyib.
Antara kejutan lain malam itu ialah penampilan pelakon popular, Fattah Amin yang muncul di atas pentas untuk mengumumkan dirinya sudah ‘bertunang’, bukan dengan orang, tetapi dengan jenama air minuman baharu, NEX. Pengumuman itu dibuat sejurus sebelum kumpulan Kerispatih memulakan persembahan mereka.
Tindakan Fattah itu nyata mengejutkan hati penonton yang menyambut pengumuman tersebut dengan sorakan dan gelak tawa.
Konsert yang berlangsung selama hampir lima jam itu menyaksikan persembahan padu daripada enam barisan artis.
Dimulakan dengan The Lantis yang buat pertama kali mengadakan persembahan di Malaysia dengan lagu-lagu seperti Lampu Merah dan Bunga Maaf, disusuli Hujan yang seperti biasa tidak mengecewakan dengan Aku Skandal dan Bila Aku Sudah Tiada.
Spider turut menghangatkan pentas dengan lagu-lagu klasik seperti Nazraku, Ngam Ho dan Aladin sementara Kerispatih mengundang sebak dengan tembang cinta Tapi Bukan Aku dan Demi Cinta.
Bunkface pula bukan sahaja menghiburkan dengan Malam Ini Kita Punya dan Revolusi, malah memilih seorang penonton naik ke pentas untuk menyanyi bersama.


Secara keseluruhan, Jiwa Kacau 2025 membuktikan bahawa gabungan nostalgia dan muzik lintas negara masih ampuh menarik perhatian pencinta muzik tempatan.
Must-Watch Video