Hiburan
Tak Sempat Tonton Di Pawagam? Jangan Risau... M for Malaysia Kini Bersiaran di Astro First!
Filem dokumentari M for Malaysia mendapat sambutan yang baik dari ramai pihak ketika mula ditayangkan bermula 12 September lalu bersempena Hari Malaysia.
Biarpun bersaing dengan filem tempatan serta filem Hollywood lain, dokumentari itu berjaya mencuri hati ramai penonton yang memberikan maklum balas positif.
Kepada anda yang tidak sempat untuk menyaksikan dokumentari ini di pawagam, jangan risau kerana ia kini bersiaran di Astro First, saluran 482!
M for Malaysia merupakan sebuah dokumentari yang menceritakan mengenai titik tolak yang mengubah negara kita dan ia menampilkan dokumentasi mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang menyaksikan rakyat Malaysia memilih untuk tidak lagi bersama kerajaan yang telah memerintah selama 61 tahun.
Pastinya ramai yang tidak mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku menerusi sudut pandang Perdana Menteri, Tun Dr Mahatir Mohamad (Tun M) sepanjang kempen PRU 14.
Karya ini memberikan sesuatu yang berbeza dan belum pernah diketahui mengenai perjuangan Tun M dengan Pakatan Harapan.
Diarahkan oleh Dian Lee dan Ineza Roussille, dokumentari yang menampilkan Datin Paduka Marina Mahathir sebagai Penerbit Eksekutif dan pemenang Oscar, Ruby Yang selaku Penerbit Kreatif ini mengisahkan mengenai perjuangan Tun M dalam misi untuk menewaskan kerajaan yang memerintah Malaysia semenjak kemerdekaan selama 61 tahun.
Sebelum ini, 'M for Malaysia' pernah ditayangkan di CAAM Festival 2019 di San Francisco dan DocEdge Film Festival 2019 di New Zealand serta ditayangkan di Busan International Film Festival (BIFF) yang berlangsung baru-baru ini.
Jangan lupa untuk menyaksikan dokumentari M for Malaysia yang kini bersiaran di Astro First, saluran 482!
Untuk lebih informasi, layari laman web rasmi 'M for Malaysia' di https://www.mformalaysia.com/.
Must-Watch Video