Sekeping gambar dan tweet yang memaparkan bintang John Wick, Keanu Reeves tidak menyentuh wanita yang bergambar dengannya, menjadi perbincangan hangat netizen, lapor Astro Awani.

Dalam banyak gambar, Reeves dilihat meletakkan tangan dalam poket seluar, atau meletakkan tangannya di belakang wanita terbabit, namun tidak menyentuh mereka.

Warganet memuji sikap Reeves yang dianggap menghormati wanita.

"Anda tidak tahu jika wanita itu rasa tidak selesa disentuh. Keanu memberi inspirasi kepada kita semua, bagaimana untuk menjadi lelaki yang lebih beradab," kata seorang peminat di Twitter.

Bagaimanapun ada peminat berpendapat Reeves bertindak sedemikian untuk melindungi dirinya daripada tohmahan aktivis feminis, namun ia ditolak sebahagian besar warganet.

"Jika benar sekalipun, Reeves wajar dihormati kerana tidak mengambil kesempatan. Ini bukan tentang mana-mana gerakan, ini tentang sikap menghormati," ujar seorang lagi pengguna Twitter.

Pelakon itu baru-baru ini diangkat sebagai lelaki paling diidamkan di internet, menurut laporan People.

"Gelaran itu agak aneh, tetapi asalkan ia perkara positif, saya terima saja," kata Reeves.

Sumber: Astro Awani