Tidak pernah berputus asa apa lagi menyerah kalah, Aiman Sidek terus mengorak langkah untuk menonjolkan dirinya sebagai seorang penyanyi.

Selepas single Cinta Terakhir yang dihasilkan tahun lalu gagal dipromosikan kerana pandemik COVID 19, pemilik nama sebenar Mohamad Aiman Md Sidek ini tidak serik.

Diam diam, penyanyi ini muncul dengan single terbaharu ciptaannya sendiri serta penulisan lirik bersama pengacara dan personaliti televisyen, Fedtri Yahya.

Lagu yang diberi judul Kekasih juga merupakan kolaborasi nyanyian bersama pertama Aiman Sidek dengan duo adik-beradik Aniq Muhai dan Alif Azhari, yang pernah mempopularkan lagu runut bunyi Suamiku Mr Blind, Tetap Bertahan.

Menurut Aiman Sidek, Kekasih merupakan sebuah lagu yang menceritakan perihal manusia yang mendambakan sesuatu dalam setiap arah tujunya berdasarkan bait-bait lirik yang ditulisnya bersama susunan muzik yang segar.

Lagu ini dirakam dan disusun oleh komposer yang tidak asing lagi, Bajai dan mixing serta mastering Huzai, alunan gitar oleh Jay Cugat dan pencorakan melodi vokal oleh Afif Tirmizie.

Ini merupakan salah satu projek susulan Aiman Sidek bersama 4U Entertainment yang ditubuhkannya sejak lebih setahun sudah, selepas lagu patriotik kolaborasi bersama Namias, Bangkit Malaysia, lagu kolaborasi rap bersama Skyrulez, Manis Dimulut dan pembikinan semula lagu Cinta Terakhir, yang pernah mendapat 10 juta tontonan di Youtube secara duet bersama Syazmin.

“Selepas genap setahun saya menghasilkan semula Cinta Terakhir pada 14 Oktober 2021, Kekasih ini merupakan buah tangan ulangtahun kelahiran saya kepada peminat-peminat pada tahun ini,” kata Aiman yang baru menyambut hari kelahirannya yang ke-32.

Tambahnya lagi: “Klip video lagu Kekasih sekali lagi akan dibintangi oleh selebriti instagram dan tiktok terkenal Pantai Timur, Ervan Rizuan dengan penampilan baru dan lakonan yang mantap.”

Bagi pihak 4U Entertainment, Aiman Sidek berharap agar lagu ini dapat memberi nafas baru kepada karya-karyanya untuk peminat-peminat muzik bukan sahaja dalam malaysia tetapi di segenap rantau.

Lagu Kekasih boleh didapati di semua platform digital seperti iTunes, Spotify, Joox, Deezer,Youtube dan lain-lain.