Maestro muzik tersohor tanah air, Datuk Ramli MS mengakui menjadi juri untuk program realiti Gegar Vaganza (GV) tidak sesukar pertandingan lain.

Ramli atau lebih mesra disapa Tok Ram ini berkata, penjurian untuk bintang GV sangat mudah kerana mereka terdiri daripada penyanyi profesional.

“Semua orang tahu yang masuk GV ini bukan penyanyi biasa-biasa. Mereka senior dalam bidang ini, jadi dari segi pemarkahan memang tak susah langsung.

“Saya memang akan berikan semua peserta 100 markah sebaik sahaja duduk di meja juri. Dan selepas itu saya menilai mereka menerusi kesilapan yang dilakukan.

“Dan kesalahan-kesalahan itulah yang menjadikan markah mereka semakin berkurangan. Sebab bagi saya penyanyi profesional tidak boleh tersilap ketika membuat persembahan,” katanya.

Bagaimanapun kata Ramli, dia pernah memberikan markah kosong kepada penyanyi Zamani untuk persembahannya dalam GV musim kelima.

“Ada sebab saya bagi dia markah kosong. Dia dapat kosong sebab tidak menyanyi langsung dan tidak adil kepada yang lain jika saya beri dia markah.

“Saya rasa itulah markah terendah yang pernah saya berikan sepanjang duduk di kerusi juri GV selama 6 musim,” ujarnya.

Mengulas mengenai penyertaan beberapa penyanyi yang dianggap legend dan tidak sepatutnya menyertai pertandingan, Ramli mempunyai alasan tersendiri.

“Semua yang menyertai GV ada kelebihan masing-masing. Tidak semestinya bergelar legend di luar sana, di pentas GV pun legend juga.

“Semua penyanyi pun boleh masuk GV untuk mencabar kebolehan sebenar mereka,” katanya yang merupakan juri tetap GV musim ketujuh (GV7).

Selain Ramli, Datuk Khadijah Ibrahim kembali menerima mandat sebagai juri tetap GV7 selepas setahun berehat daripada tugas penjurian GV musim lalu.

Selain itu, seorang juri jemputan profesional juga turut diundang khas secara bergilir-gillir pada setiap minggu untuk menyertai juri tetap bagi mengadili persembahan para bintang.

GV7 juga masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada setiap minggu akan disingkirkan.

Rangkaian program GV7 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul Kapsul Gegar Vaganza.

Untuk lima episod pertama, Kapsul Gegar Vaganza akan disiarkan pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 5 Oktober 2020. Siaran ulangan pula adalah pada jam 11.30 malam.

Konsert mingguan GV7 pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 11 Oktober 2020.

Untuk pengisian di platform digital, program Gegar Vaganza Live Plus akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan GV7 bermula 11 Oktober 2020.

Teruskan menonton GV7 yang dibawakan sekali lagi oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.