BERITA
Tak Tahu Wajib Pakai Tali Pinggang Keledar Antara Alasan Popular - JPJ
Alasan tidak tahu pemakaian tali pinggang keledar adalah wajib menjadi antara helah paling kerap digunakan penumpang bas bagi mengelak dikenakan tindakan dalam pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, alasan itu bagaimanapun tidak dapat diterima kerana hasil semakan pihaknya mendapati kebanyakan pengendali bas dan pemandu sudah membuat pengumuman atau meletakkan notis mengingatkan penumpang supaya memakai tali pinggang keledar.
"Alasan kononnya tiada pengumuman dibuat tidak boleh diterima kerana kebanyakan syarikat bas dan pemandu memang ada buat pemakluman kepada penumpang, jadi, kalau tidak pakai tali pinggang keledar, tetap akan dikenakan saman.
"Malah kalau ada pelancong atau bukan warganegara, jika penumpang mereka tetap tertakluk kepada peraturan sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar ketika melawat sebuah kilang pembuatan badan bas di Telok Gong.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 1,427 saman telah dikeluarkan JPJ setakat 22 Julai lalu menerusi pemeriksaan melibatkan operasi pematuhan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas di seluruh negara.
"Daripada jumlah itu, 1,123 saman melibatkan penumpang yang gagal memakai tali pinggang keledar manakala 280 saman dikenakan kepada pemandu atas kesalahan sama," katanya.
Katanya, kadar pematuhan dilihat semakin meningkat berbanding sebelum ini susulan kerjasama pengendali bas yang mengambil langkah proaktif memberi peringatan kepada penumpang.
"Secara keseluruhan kita nampak pematuhan makin meningkat, penumpang juga semakin faham kepentingan memakai tali pinggang keledar.
"JPJ akan teruskan operasi di seluruh negara termasuk menggunakan kaedah penyamaran bagi memastikan pemandu dan penumpang benar-benar mematuhi peraturan," katanya.
Sumber - Sinar Harian
Must-Watch Video