Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Tak Tengok Tapi Dah Dislike, Mungkin Mereka Haters" - Cik B Tak Peduli, MV Tolonglah Masih Trending #1

Amri Hassan
09/12/2020 12:11 MYT
Ahli perniagaan muda yang mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian, Cik B mencipta rekod peribadi apabila video muzik lagu Tolonglah yang dilancarkan pada 1 Disember lalu kekal di kedudukan nombor satu carta trending.

Lebih hebat apabila video muzik yang ditayangkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music itu sudah mencecah tiga juta tontonan dalam tempoh seminggu.

Cik B, 15, atau nama sebenarnya Edlynn Zamilleen Muhammad Amin berkata, dia tidak pernah menjangka lagu dan video muzik itu akan menjadi tular dan ‘trending’.

"Sejujurnya saya berasa amat gembira dengan pencapaian diraih lagu ini sekarang. Saya macam tidak percaya boleh menghasilkan lagu yang mendapat perhatian orang ramai sehingga ‘trending’.

"Saya menjangkakan lagu ini akan mencecah 3 juta tontonan hari ini. Apabila lagu dan video muzik ini dilancarkan, diakui saya tidak pernah meletakkan sasaran untuk ‘trending’. Sebab saya tahu ada yang tidak berapa suka dengan genre lagu ini.

"Apa pun, saya mahu ucapkan terima kasih kepada yang sudah menonton dan komen positif. Bagi yang memberikan tanda ‘dislike’, saya pun tidak tahu sebab apa.

"Mungkin mereka tidak tengok lagi tapi dah ‘dislike’. Mungkin juga mereka adalah ‘haters’, jadi dengki dengan saya. Tidak mengapalah, biarlah mereka puaskan hati sendiri dengan cara itu,” katanya.

Dalam masa sama, Cik B yang juga anak kepada usahawan terkenal Datuk Seri Vida berkata selepas ini dia akan muncul dengan video muzik lirik dengan video berbeza.

Malah, Cik B berpesan kepada orang ramai yang memperkecilkan bakatnya supaya tidak menyimpan perasaan iri dan benci terhadap dirinya.

"Insya-Allah selepas ini saya mahu buat video lirik yang mana menampilkan video lain pula. Bagi mereka yang memperkecilkan bakat saya, kita tak boleh benci orang. Simpan saja kalau sakit hati sebab saya tidak pernah sakitkan hati mereka.

"Mengenai kritikan membabitkan kualiti video muzik ini, saya harap mereka faham. Diakui video muzik lagu ini tidaklah sehebat dan sebagus video muzik penyanyi lain.

"Dalam erti kata lain banyak kekurangan terutama pelakon yang terbabit sebab saya menggunakan khidmat kakitangan mama untuk berlakon kecuali pelakon yang melakonkan watak saya.

"Selain itu saya juga masih belum pandai buat ‘lip sync’. Jadi, memang akan nampak pelik. Jadi, untuk segala kritikan saya sudah bersedia termasuk yang akan ‘dislike’.



"Walaupun kecaman diterima akan membuatkan saya berasa lemah semangat, tapi saya buat tidak tahu saja. Ibaratnya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

"Segala komen jahat dan tidak membina, saya tidak mahu hiraukan. Ini kerana, saya sudah terbiasa sejak umur 11 tahun lagi.

"Tapi, apa yang membuatkan saya yakin adalah beberapa orang yang sudah melihat video muzik ini turut menangis dan rasa apa yang ingin disampaikan dalam lagu dan video muzik," tambahnya.

Berkongsi mengenai lagu ciptaan bersama ibunya itu, Cik B berkata, lirik lagu itu menceritakan kisah silam dan pengalaman sadis Cik B yang menjadi mangsa dera pembantu rumah, kisah ibunya didera dan kematian menyayat hati abangnya.


#Datuk Seri Vida #Qu Puteh #Dera #Lagu #Muzik Video #DSV #Vida Beauty #Kosmetik #Cik B #MV #Tolonglah
;