Penyanyi dan pengacara, Sissy Imann enggan melakukan gimik atau publisiti murahan demi meraih populariti.

Dedah Sissy, 26, dia pernah didekati seorang kenalan dalam industri seni yang menyuarakan idea supaya mereka berlakon sedang bercinta bagi meraih tumpuan ramai.

"Saya tahu gosip bercinta sesama artis antara berita yang pantas memancing perhatian, tetapi sudah tentu saya tak tergamak untuk mereka-reka cerita yang tidak benar.

"Memang ada seseorang yang pernah menyuarakan hasrat supaya kami berpura-pura mempunyai hubungan kerana kononnya saya tidak mempunyai cerita panas yang dapat melonjakkan nama saya.

"Bagi saya tidak mengapalah kalau kurang kisah sensasi daripada mereka-reka benda yang tak betul. Bukan saja menipu orang, hakikatnya kita juga menipu diri sendiri.

"Biarlah begini lagi bagus, asalkan rezeki dalam bidang seni tak putus. Itu lebih saya risaukan berbanding tiada kisah sensasi," katanya.

Sissy ditemui pada majlis pelancaran program Getaran Jiwa terbitan saluran TVS, di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur baru-baru ini. Program realiti terbabit bakal menyaksikan Sissy bergandingan dengan Jiggy Masin sebagai hos.

Program realiti imbau kenangan P. Ramlee & Saloma

Getaran Jiwa bakal ditayang menerusi saluran 122 di Astro dan MYTV mulai 21 Oktober 2022 (Jumaat) yang mempunyai sebanyak 8 episod.

Program ini bersiaran pada setiap Jumaat, jadual mingguan program ini bakal dimulai dengan tayangan kapsul ‘Debaran Jiwa’ pada pukul 7.30 malam hingga 8.00 malam dan diikuti siaran langsung ‘Getaran Jiwa’ pada 8.45 malam hingga 10.15 malam.

Kata Penasihat Kandungan Kreatif, Adlan Shaharir, ‘Getaran Jiwa’ menampilkan 40 peserta melalui pencarian bakat baru dari seluruh negara yang akan bersaing bagi merebut hadiah terkumpul sebanyak RM60,000.

"Untuk membawakan kelainan dan nafas baharu, susunan muzik karya-karya evergreen Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma bakal kami olah supaya menjadi lebih kontemporari. Insya-Allah, bakat-bakat baru yang kami ketengahkan dan persembahan yang bakal kami sajikan akan mencuit hati para penonton.

"Tanpa lari daripada intipati asal lagu kedua-dua legenda tanah air tersebut, para peserta diberikan peluang menggunakan kreativiti mereka untuk mengangkat martabat lagu yang sedia ada. Dengan barisan peserta dari seluruh Malaysia daripada latar belakang yang pelbagai, kami juga tidak sabar menunggu kejutan daripada bakat-bakat ini," ujarnya.

Persembahan peserta akan dinilai melalui sistem pemarkahan ‘Jiwa Meter’ yang terbahagi kepada 70% oleh barisan juri profesional diketuai oleh Datuk Nash dan 30% oleh juri awam yang mengundi secara atas talian.

Bukan itu sahaja, program itu akan diadili oleh barisan juri antaranya Noraniza Idris, Fauziah Latiff, Liza Hanim, Ayai Ilusi dan Fauzi Marzuki.

Getaran Jiwa boleh disaksikan penonton bermula 21 Oktober 2022 pada pukul 8.45 malam setiap Jumaat di saluran 122 di Astro dan MYTV.