Berita
"Tak Terima IG Review, Hanya Terima Jodoh" - Caprice Beri Bayangan Nak Cari Pasangan Hidup?
Penyanyi rap, Caprice memberi bayangan bahawa dia kini sedang mencari wanita untuk dijadikan sebagai pasangan hidup.
Perkara itu dikongsikan Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 32, menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Menerusi posting tersebut, pelantun lagu Wat Lek Wat Peace itu berkongsi sekeping foto yang menunjukkan paparan mesej perbualan di WhatsApp antara dirinya bersama seorang wanita.
"Buat masa sekarang, Caprice tak terima IG review. Hanya terima jodoh kalau ada. Insya-Allah," tulis rapper itu sambil menyertakan sekali emotikan berbentuk hati sebagai menjawab soalan individu tersebut.
Terdahulu, individu tersebut yang menggunakan gambar profil imej bertudung itu memperkenalkan dirinya sebagai Firah.
Kiriman mesej itu dibuat bagi tujuan untuk mendapatkan khidmat reviu produk daripada rapper berkenaan.
Bagaimanapun, perkongsian Caprice itu kemudian mengundang pelbagai respons dalam kalangan netizen.
Rata-rata terhibur dengan cubaan Caprice yang dilihat cuba menggunakan ayat seperti mahu memikat.
"Wah, kamu mencari jodoh, gunalah aplikasi kamu sendiri abang.
"Sikit lagi nak sampai tu jodoh Cap, esok lusa dapat lah.
"Hahah, savage bro! Harapnya wanita yang hantar WhatsApp itu menjadi jodoh anda!
"Apa cakap macam tu, awak tahu tak, awak dah bagi harapan dekat dia!," tulis sebahagian pengikutnya di ruangan komen.
Sebelum ini, Caprice pernah memberitahu, dia inginkan wanita berasal dari Kedah sebagai calon teman hidupnya.
Caprice juga pernah membangunkan sebuah aplikasi cari jodoh dalam talian yang dipanggil Salam Jodoh.