Ratu Etnik Malaysia, Noraniza Idris mengumumkan bakal mengadakan konsert berskala besar di Singapura dan Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Konsert itu merupakan sebahagian daripada kalendar siri jelajah Malai Solo Tour yang akan bermula pada April 2019 hingga April 2020.

"Sudah lama rasanya saya tidak membuat showcase dan apabila muncul semula saya tidak boleh sekadar membuat persembahan biasa-biasa.

"Banyak yang perlu dikorbankan dan memerlukan persiapan rapi sepanjang program berlangsung," katanya ketika sidang media Siri Jelajah Malai Solo di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur semalam.

Program itu akan dimulakan dengan Sawo Matang Noraniza Idris Special Showcase (MATIC, Kuala Lumpur pada 12 hingga 14 April 2019), Iktiraf Noraniza Idris In Concert Singapore (9 November 2019) dan diakhir Malai Solo Noraniza Idris In Concert (2 hingga 4 April 2020).

Selain itu, antara program lain yang diselitkan dalam kalendar acara itu ialah Flestar Aidilfitri (Mei), Flestar Merdeka (Ogos), Jejak Budaya Noraniza Idris (Jun) dan Akar Kita Zapin 2019 (Oktober).

Dedah Kak Ani, pihaknya memperuntukkan lebih RM200,000 untuk Sawo Matang Noraniza Idris Special Showcase dan RM1.8 juta untuk Malai Solo Noraniza Idris In Concert di Istana Budaya.

Namun, pihaknya masih mengalu-alukan sumbangan daripada segi penajaan daripada pihak yang berminat.

"Sepanjang 30 tahun karier saya, inilah baru pertama kali saya mengadakan konsert besar-besaran.

"Saya perlu ada kekuatan luar biasa sebab satu saat silap akan jejaskan keseluruhan show.

"Apabila sudah merancang kita perlu teruskan, setakat ini saya tidaklah terpengaruh dengan konsert artis seangkatan. Saya tak paksa diri pun," katanya.

Sementara itu, konsert Sawo Matang Noraniza Idris Special Showcase di MATIC pada 12-14 April nanti bakal membabitkan 100 orang ensemble dan 8 segmen transformasi etnik.

Tiket boleh dibeli dengan harga RM99, RM119, RM139, RM169 dan RM189 menerusi Harithmai Production di talian 019-3391445, 018-8714305 atau 01137700894 (Whatsapp).