Pelawak Shuk Sahar, 35, kini bangkit daripada kejatuhan selepas terpalit dengan kontroversi panas sehinggakan kontrak sebagai penyampai radio di sebuah stesen radio telah ditamatkan.

Sedang giat dalam dunia perniagaan, Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar akui ada segelintir yang beranggapan dia meniru seperti konsep kedai minuman rakannya, pelawak dan usahawan Shuib.

"Saya tahu, mungkin akan ada yang kata pembukaan jenama ini seakan-akan meniru kedai minuman yang diusahakan oleh Shuib yang kini sudah popular.

"Terus-terang, saya sendiri memang ada bertanya dan meminta tip perniagaan daripadanya tapi tidaklah meniru," katanya kepada Gempak.

Shuk ditemui pada majlis pembukaan cawangan pertama air minuman, Semooth di Wangsa Maju, baru-baru ini.

Tambah pengacara ini, dia bertuah kerana memiliki seorang kawan yang tidak kedekut untuk berkongsi ilmu serta memberi nasihat.

Dalam pada itu, pelakon filem Adnan Sempit 2 tersebut nekad untuk terus berpegang dengan nasihat Shuib sehinggalah termakbul impiannya untuk membuka enam lagi cawangan Semooth Cafe.

"Sebagai seorang sahabat, Shuib memang tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan saya. Malah, dia juga ada memberi sedikit sebanyak nasihat kepada saya yang masih baharu dalam dunia perniagaan ini.

"Dia kata jangan mengaku kalah, terus jalan ke hadapan bila sudah jejak kaki dalam dunia perniagaan ini. Daripada fikir sahaja tapi tidak buat dan mencuba, kita tak akan dapat apa-apa.

"Ternyata dia memang idola saya. Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya nak giatkan lagi latihan dan nak ikut jejak langkah dia.

"Sasaran saya, nak buka enam lagi cawangan Semooth Cafe selepas ini. Doakan ya," katanya lagi.

Terdahulu, berikutan krisis rumah tangga dan kecurangan Shuk, pengurusan radio milik Media Prima membuat keputusan untuk menamatkan kontrak sebagai penyampai Geng Pagi Hot bermula 18 Februari.