Laman Utama
Tak Tunggu Lama, Ebit Lew Beri Kereta Pada Ibu Rider & Anak OKU
Sekeping foto ibu tunggal yang menjadi penghantar makanan sambil mengendong anaknya yang cacat penglihatan menjadi tular di laman sosial hari ini.
Aksi wanita tersebut, Azimah Abdul Rahim bersama anaknya di atas sebuah motosikal dirakamkan oleh jurufoto Fariz Rusadio.
Foto tersebut kemudian mendapat beragam respons dalam kalangan pengguna media sosial yang rata rata bersimpati dengan nasib wanita berusia 37 tahun dan anaknya, Nurainul Zahirah Rashidi, 6 tahun.
Seperti biasa, sebaik ia menjadi tular di media sosial, penceramah bebas, Ebit Lew tidak menunggu masa yang lama untuk menghulurkan bantuan.
Tanpa banyak cerita, Ebit Lew menerusi perkongsian dalam media sosialnya dilihat menghadiahkan sebuah kenderaan bagi memudahkan urusan kerja Azimah yang tidak boleh meninggalkan anaknya sewaktu keluar mencari rezeki.
“Menangis akak terharu dalam kereta sambil peluk anaknya dan kata ‘Ya Allah anak rezeki kita, tak sangka dapat rezeki begini,” tulis Ebit Lew di Facebooknya.
Menurut Ebit, 11 bulan lalu, Azimah sudah dibantu dengan diberikan kediaman dan sewa ditanggung oleh pihak mereka.
Namun kata Ebit sebagai manusia biasa dia sangat tersentuh dengan pengorbanan Azimah yang sanggup bersusah payah mengendong anaknya menaiki motor untuk menjadi penghantar makanan.
Atas alasan itu dia sekali lagi membantu Azimah dan kali ini memberikan kereta buat ibu tunggal tersebut.
Dalam perkongsian yang sama, Ebit Lew turut memaklumkan Azimah pandai memasak dan ada mengambil tempahan membuat mee kari dan laksa.
Terdahulu, Azimah pernah mahu meninggalkan anaknya dijaga oleh penjaga namun sifat anaknya yang agak aktif membuatkan tidak ada yang sanggup menjaga Nurainul.
Kredit foto: Facebook Ebit Lew
Jangan lupa, undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.