Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Tak Tunjuk Dia Sakit, Cuma Dia Peluk Saya Dan Berkata..."- Yusof Haslam Dedah Ridzuan Hashim Kuat Semangat Demi Kelangsungan Hidup

Syafiqah Jalal
05/05/2023 09:44 MYT
Penerbit filem popular, Datuk Yusof Haslam mendedahkan Allahyarham Ridzuan Hashim mempunyai semangat yang kuat untuk mencari rezeki demi kelangsungan hidupnya.

Cerita kembali kenangan terakhir bersama arwah, Yusof Haslam memberitahu dia teringat pelukan penuh makna yang diberikan kepadanya sewaktu drama terakhir lakonannya Kuasa terbitan syarikat produksinya, Skop Production Sdn Bhd dan Astro Shaw.

"Dia tak tunjuk dia sedang sakit (penyakit jantung) waktu itu cuma dia peluk

saya dan kata dia okey sahaja. Sebelum

ini dia tidak pernah peluk saya.

"Saya tahu semangat dia kuat, walaupun

dalam keadaan sakit, dia gagahkan diri

meneruskan penggambaran sebab dia

mahu berlakon.

"Jadi ketika itu saya beritahu kepada kru produksi berikan sahaja watak sesuai dengan kemampuannya," katanya kepada Gempak.

Yusof antara rakan artis yang hadir ketika upacara pengebumian Allahyarham di

Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor pada malam Khamis.

Berkongsi lagi keperibadian Ridzuan, Yusof memberitahu sahabatnya seorang yang mempunyai disiplin yang tinggi dalam bekerja.

"Saya tak rapat dengannya tapi kami sudah lama mengenali dan bekerjasama sejak tahun 80-an lagi.

"Arwah seorang yang sangat bagus dan berdisiplin serta serius dalam bekerja. Itu perkara yang boleh dipuji tentang dirinya," tambahnya.

Ridzuan atau Mohd Ridzuan Hashim, 62, meninggal dunia akibat serangan jantung pada pagi Khamis selepas rebah ketika sedang bersarapan di kediamannya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

;