Penyanyi Datin Alyah enggan duduk diam dan bersandar dengan lagu-lagu hits yang sedia ada.

Sering tampil dengan material baru saban tahun, Alyah menganggap memandang serius kerjayanya sebagai penyanyi.

"Ada yang tanya, kenapa saya gigih tampil dengan single baru hampir setiap tahun. Ada yang menjadi, ada yang tidak.

"Jawapan saya mudah... Bidang nyanyian ini merupakan kerjaya saya. Tempat saya cari makan, memperolehi rezeki dan sebagainya.

"Saya tak mahu duduk diam dan berharap dengan single lama. Saya mahu tampil memberikan kelainan setiap tahun. Jadi, saya takkan penat dan mengalah untuk menghasilkan lagu baru," katanya.


Muncul dengan lagu Meluruh hasil kolaborasinya bersama Helen Yap dan Slen, isteri kepada maestro muzik Datuk Ramli MS ini beruntung kerana dapat bekerjasama dengan dua nama profilik ini.

"Alhamdulillah, lagu ini dihasilkan oleh kami bertiga. Rasa sangat senang dapat bekerjasama dengan mereka.

"Apa yang saya harapkan ialah lagu Meluruh mendapat tempat di hati peminat dan kena dengan selera pendengar muzik, Insya-Allah," katanya lagi.