Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Takut Berlakon Filem Seram, Nadiya Nisaa Dedah Kisah Disebalik Tawaran ‘Harum Malam’ - “Akhirnya Saya Terima Selepas Mereka Menipu…”

Asyikin Mayudin
23/12/2022 02:55 MYT
Pelakon Nadiya Nisaa mengakui dia selalu menolak tawaran untuk membintangi naskhah seram sebelum ini disebabkan dibelenggu perasaan takut yang sukar diatasi.

Bagaimanapun, Nadiya akhirnya berubah hati apabila menerima tawaran untuk terlibat dalam filem seram arahan pengarah Dain Said iaitu Harum Malam buat pertama kali.

“Harum Malam merupakan filem seram pertama saya… sebenarnya mula-mula saya menolak tawaran itu dan ikutkan sebenarnya saya selalu tolak tawaran filem seram.

“Sebab saya ini sebenarnya seorang yang penakut. Bila penerbit menyatakan hasrat bahawa Dain Said mahu saya membawakan watak Dina dalam filem ini, saya tolak.

“Walaupun saya sangat mengagumi Dain dan mahu terbabit sama dalam karyanya, saya terpaksa menolak. Tapi akhirnya saya terima tawaran itu selepas mereka ‘menipu’ saya sedikit,” katanya kepada Gempak.

Nadiya ditemui ketika sesi temu bual eksklusif bersama media di Restauran Alexis, Great Astern Mall, Ampang, Kuala Lumpur pada semalam.

Berkongsi mengenai taktik ‘menipu’ yang dimaksudkan, Nadiya memberitahu dia hanya dimaklumkan memegang watak Dina yang bekerja sebagai pengamal perubatan tradisional dan mempunyai deria keenam.

“Mereka kata, saya watak saya itu bukan watak hantu atau dihantui, sebaliknya saya hanya perlu menghidupkan watak Dina, seorang pengamal perubatan yang mempunyai deria keenam.

“Sebab itulah saya terima, tapi bila sampai set, tak sangka pula saya kena juga buat solekan khas untuk menjayakan watak saya,” ujarnya lagi.

Filem Harum Malam bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 9 Febuari depan.

Harum Malam berkisarkan pergelutan hidup Iqbal, watak yang dihidupkan oleh Idan Aedan, seorang remaja dan pelatih perubatan tradisional yang mampu melihat makhluk yang ghaib pada mata kasar manusia.

Keupayan luar biasa ini mengakibatkan lqbal sering diganggu makhluk dan ancaman dari dunia alam ghaib sehingga sukar untuk Iqbal membezakan antara realiti dan ghaib.

Satu peristiwa menyebabkan rakan-rakan dan keluarga lqbal terdedah dengan makhluk ghaib yang bahaya. Iqbal terpaksa menggunakan kebolehan istimewa ini untuk melawan makhluk tersebut.

Filem terbitan Apparat dan kerjasama dengan D'Ayu Pictures dan Skop Productions ini turut dibintangi oleh Bront Palarae, Remy Ishak, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud and Faizal Hussein.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.

#Nadiya Nisaa #Seram #Nadiya #Harum Malam #Nadiya penakut