Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Takut Bila Orang Dekat…”- Paranoid Selepas Kena Covid-19, Che Ta Pakai Baju Yang Boleh ‘Social Distancing’

Syafiqah Jalal
09/03/2022 02:49 MYT
Aktress jelita, Rozita Che Wan akui paranoid setiap kali dikelilingi ramai orang lebih-lebih lagi selepas baru sahaja dijangkiti Covid-19 pada 23 Februari lalu.

Justeru, sebagai langkah berjaga-jaga Rozita atau dikenali sebagai Che Ta, 49, memilih atau meminta pereka fesyen untuk mencipta busananya yang ‘mesra’ prosedur operasi standard (SOP).

“Saya memang sangat berjaga-jaga. Selain melihat baju yang sesuai ke acara dengan padanan tudung dari Jol's Luxe Fabrics ni…rekaan pada bahu baju saya iaitu puff yang agak besar ini bukan direka sekadar suka-suka tapi boleh dikatakan ia baju social distancing.

“Bila bahu baju ni besar kiri kanan harapnya boleh mengelak orang berhimpit-himpit dengan saya ketika bergambar,” katanya.

Che Ta berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta kempen Jol's Luxe Fabrics for Rozita Che Wan sempena Hari Wanita Sedunia di sebuah hotel di ibu negara pada hari ini.

Berkongsi pengalaman hitamnya selama 10 hari positif Covid-19, Che Ta berkata ia sesuatu yang meninggalkan kesan cukup mendalam dalam dirinya selepas mengalami simptom yang agak teruk.

“Pengurus hubungi saya sehari selepas penggambaran dengan Han Byul untuk Mai Cheq Deco dan minta saya buat swab test. Saya terus ke klinik dan keputusannya positif.

“Kemudian pada sebelah malamnya, saya mula rasa sakit badan dan diikuti simptom lain seperti sakit kepala, cirit birit, muntah, batuk, demam dan selsema.

“Sepanjang 10 hari saya memang tak larat bangun serta terbaring sahaja di rumah…Malah nak melihat telefon pintar sekali pun,” ujarnya.

Sementara itu, Pengasas Jol's Luxe Fabrics, Johan Lim berkata, dia dan isterinya, Alia @ Seri Hadia memilih Che Ta sebagai duta kempen untuk memberi inspirasi dan membantu golongan ibu tunggal di luar sana.

Menurut Alia pula sebagai pereka doa memberitahu daripada 13 koleksi dikeluarkan untuk edisi tersebut direka sendiri, merujuk pada personaliti Che Ta.

“Semua rekaan dibuat selepas menyelidik karakter Che Ta. Che Ta ni nampak saja macam seorang diva tapi tidak selepas mengenalinya.

“Dia seorang yang menepati masa selain bekerja dengan bersungguh-sungguh, tu sebab dia wajah yang sesuai mewakili jenama kami bagi kempen sambutan Hari Wanita Sedunia hari ni,” katanya.

#Che Ta #Rozita Che Wan #Baju #Paranoid #SOP
;