Gaya Hidup
Takut Dengan Penularan Virus Covid-19, Sukan Olimpik Tokyo Mungkin Dibatalkan
Gara-gara penularan wabak Covid-19 sehingga 186 kes dicatatkan, beberapa temasya terbesar dunia akan dibatalkan termasuklah Sukan Olimpik yang dijadualkan berlangsung di Tokyo tahun ini.
Memetik laporan CNBC, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menasihati anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk membatalkan penganjuran sukan Olimpik Tokyo edisi 2020.
Menurut Anggota IOC, Dick Pound, sukan Olimpik kemungkinan akan dibatalkan atau ditangguhkan selain cadangan dipindahkan ke lokasi lain jika virus itu terus menular dengan keputusan rasmi kemungkinan pada Mei.
Bagi Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, pihaknya masih belum menerima sebarang arahan daripada IOC berhubung penangguhan atau pembatalan Olimpik Tokyo.
“Sehingga kini, kita masih belum menerima sebarang arahan penangguhan atau pembatalan Sukan Olimpik Tokyo 2020, jadi kita tetap akan menghantar atlet negara seperti biasa," katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro tetap berjalan seperti biasa walaupun wujud kebimbangan dalam kalangan negara bertanding berhubung penularan virus Zika, di negara Amerika Selatan itu.
Temasya sukan terbesar dunia itu dijadual berlangsung dari 24 Julai sehingga 9 Ogos ini di Tokyo.