Aktres baru, Aprena Manrose, 25, merupakan pelakon yang sedang mencipta nama di arena seni tempatan.

Merupakan anak kepada pelakon dan penerbit drama Allahyarham Rosnah Mohd Noor, Aprena semakin rancak mengatur langkah dalam bidang seni dan kini berpeluang tampil sebagai teraju utama filem Jodoh Syaitan arahan Mokharul Shamsul Mokhtar atau Asey.

"Sebenarnya, saya seorang yang penakut. Saya takut gelap, takut kepada benda yang mengejutkan.

"Saya mengambil masa seminggu untuk berfikir sebelum menerima tawaran ini. Dalam masa sama, saya ada mendapat tawaran drama untuk 13 episod. Tetapi saya terima tawaran filem ini," katanya.

Tambah pemilik nama sebenar Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman ini, dia berasa dihargai kerana orang luar mula nampak kebolehan dirinya dalam bidang lakonan.

"Saya terima cabaran membintangi filem ini kerana ingin mencabar diri saya. Saya ada terfikir jika saya tidak menerima tawaran ini, tidak tahu bila lagi akan dapat peluang seperti ini," katanya kepada Gempak.

Bergandingan dengan pelakon Sofi Jikan sebagai teraju utama, mereka akan memulakan penggambaran filem Jodoh Syaitan pada 18 Julai ini.

Selain Aprena dan Sofi, filem Jodoh Syaitan menampilkan barisan pelakon seperti Abam Bocey, Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi, Jay Iswazir dan ramai lagi.


Teks: Noor Zulaikha Yusof